Tuesday, August 10, 2010

Hari Pertama: Niat dan Harapan

Telefon bimbit saya berbunyi. Bunyi itu kedengaran amat menjengkelkan kerana telah menganggu lena saya. Padahal saya sendiri yang menetapkan supaya jam loceng pada telefon bimbit itu berdering tepat jam 4:30 pagi. Segala-galanya gara-gara hari ini. 1 Ramadhan.
Tangan saya pantas mencapai telefon bimbit itu dan mematikan jam penggera. Ah, aman akhirnya. Saya memutuskan untuk kembali terlena. Bantal yang ada di kepala terasa terlalu empuk. Tilam yang lembut turut mengundang saya untuk kembali kepada mimpi yang tersekat di separuh jalan.
Baru sahaja minda saya mahu melayar bahtera, tubuh saya terasa ditepuk-tepuk. Kedengaran nama saya dipanggil-panggil. Dengan penuh malas, saya memaksa mata saya untuk terbuka.
“Boleh tolong tukarkan tong gas? Gas sudah habis…” Pinta nyai. Saya tidak membantah. Tidak sanggup membantah. Siapa yang sanggup membantah permintaan ibu kepada 11 orang anak, termasuk ummi, yang telah menjaga mereka bagai menatang minyak yang penuh? Anak-anak itu sudah besar dan bisa menjaga diri masing-masing dan kini, wanita itu menjaga cucu-cucunya pula, termasuk saya; anak-anak mereka. Siapa yang sanggup membantah?
Dengan mata yang terkebil-kebil, saya ke dapur membantu nyai menukar tong gas supaya dia boleh memasak. Tiada ucapan terima kasih yang saya terima dan saya tidak mengharapkan ucapan itu daripadanya. Sekiranya terucap, saya hanya tambah terhutang kepada dirinya yang tidak pernah lelah berkhidmat untuk anak-anak dan cucu-cucu.
Kemudian, saya teringatkan sesuatu. Saya belum tahajjud. Terasa amat rugi jikalau saat-saat sebegini disia-siakan dengan tidur sedang yang lain-lain sibuk beribadat mencari keredhaan-Nya di dalam bulan yang penuh barakah ini. Bulan di mana semua pintu syurga dibuka. Bulan di mana pintu neraka ditutup
Allahumma inni as-aluka ridhoka wal jannah, wa a’uzubika min sakhoti ka wannar
Harapan saya hanya syurga. Harapan saya dijauhkan neraka dan kebencian-Nya.

Allahumma innka ‘affuwwun tuhibbbu ‘afwa fa’fu ‘anni
Harapan saya, dosa-dosa saya terampun. Biar tidak lagi bersisa di dalam diri walau satu titik. Agar titik itu tidak dapat membesar, hitam, legam hingga cahaya hidayah-Mu tidak dapat menembusi hati ini.
Wa ‘an wa lidayya…
Dan juga dosa-dosa kedua-dua orang tua saya. Tanpa mereka tiadalah diri ini. Tanpa didikan mereka, tidak mungkin saya akan mampu keluar daripada belenggu kejahilan.

Wa ‘an jamii’il muslimina walmuslimat, mu’miniina wal mu’minat.
Dan juga dosa-dosa seluruh muslim dan mukmin. Saudara-saudara sedarah sedaging saya. Saudara-saudara seagama saya. Teman-teman ketawa dan menangis. Semuanya…

Sungguh saya bukan seorang ustaz. Apatah lagi wali. Ini cuma harapan seorang hamba yang biasa yang cuba sedaya-upaya untuk memenuhi tuntutan peranannya di muka bumi ini. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadahan yang lepas. Semoga Ramdahan kali ini dapat menghancurkan hati-hati yang keras bak kerikil dan menjadikannya lembut ibarat sutera.
Nawaitu sawma ghadin ‘an adaa’i fardhi syahri Ramadhaana hazhihissanati lillahi ta’ala
Sesungguhnya, solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya kerana-Nya. Ramadhan Kareem, mulanya pesta ibadah…

No comments: