Tuesday, January 26, 2010

AFA 09 (Bhg 1)

Entri lewat
Tarikh: 22/11/2009
Tempat: Pusat Konvensyen SUNTEC
Semasa di kampus dahulu saya mula menanam minat terhadap anime. Semenjak itu, saya ditemukan dengan budaya-budaya dan terma-terma berkaitan anime. Otaku, cosplay, seiyu... Demi untuk mendalami budaya-budaya ini saya telah berpeluang untuk menghadiri Festival Anime Asia 09 yang berlangsung di tempat yang tersebut di atas. Apa sebenarnya yang hype sangat tentang budaya anime ni?
Sebaik sahaja menjejak kaki ke tempat kejadian, saya disambut dengan kehadiran beberapa cosplayer yang memperagakan watak-watak tertentu di dalam anime. Saya begitu teruja dengan apa yang bakal menanti saya di dewan pameran nanti. Namun, apabila sampai, rupa-rupanya untuk masuk, bayaran sebanyak SS$ 12 dikenakan. Demi rasa ingin tahu, saya korbankan sejumlah wang tersebut walaupun di fikiran saya melintas sedikit rasa ragu sama ada pengorbanan itu berbaloi. (Bersambung...)

Friday, December 25, 2009

Simbol Yang Hilang

Tajuk: The Lost Symbol
Penulis: Dan Brown
Genre: Novel Thriller
Versi: Kulit Tebal
M/s: 509

Catatan:-

Setakat ini saya susah sampai ke Bab 97. Hero saya, Robert Langdon kembali di dalam cerita kali ini. Kali ini, Langdon perlu menyelesaikan teka-teki simbol di sekitar bandar Washington D.C. Siapa sangka di bawah tanah bandar tersebut ada piramid?
Perkara yag paling menarik di dalam cerita ini adalah kaitan Freemason dengan negara U.S. Setakat ini saya difahamkan bahawa gerakan Freemason adalah satu gerakan rahsia yang cuba mengawal dunia. Dan Brown cuba mengubah persepsi tersebut melalui cerita ini. Baginya, Freemason bukankah satu gerakan rahsia tetapi Freemason adalah gerakan yang mempunyai banyak rahsia sebagaimana gerakan-gerakan lain yang ada di muka bumi ini.
Saya mendapati tulisannya, walaupun di dalam bentuk fiksyen, amat kuat dan berpengaruh ke atas pembaca-pembacanya. Expsose yang cuba dilakukan membuatkan saya semakin tertarik untuk mengetahui lebih lanjut. Saya percaya dengan mengetahui lebih banyak, kita akan dapat membuang rasa sangsi yang berjelaga di dalam fikiran kita.
Kata orang Melayu, "Tak kenal maka tak cinta." Robert Langdon juga berkata, "We are afraid of the things we do not understand (Kita takut dengan perkara yang kita tidak faham)."
Jadi, marilah sama-sama kita membuang rasa sangsi dan ragu tersebut dengan terus menggali ilmu yang ada di dalam dunia ini. Buat masa sekarang, saya akan terus mengekskavat apa jua rahsia yang mahu didedahkan Dan Brown melalui karya terbaru beliau ini.

Wednesday, December 23, 2009

Balik Kampung!

Rumah adalah tempat di mana di sana ada seseorang yang menanti kepulangan kita. Keluarga saya adalah rumah saya. Tempat saya pulang. Justeru apabila diberikan cuti pada 15 Dis 2009 yang lalu, saya tidak teragak-agak lagi menggunakan waktu itu untuk pulang.
Ummi, Abi, Mu'az, Izzat, Nazeer, Anas, Athif, Syifa' dan Zilal; saya bernasib baik untuk bertemu mereka semua pada kepulangan kali ini. Terlalu banyak yang mahu diceritakan, tetapi terlalu sedikit yang dapat diungkap. Rindu saya sedikit terubat, tetapi tidak semuanya.
Hmm, rindunya pada rumah...

Wednesday, November 25, 2009

Robert Langdon di Singapura?

Salah satu projek yang telah saya mulakan sewaktu mula-mula berada di Singapura adalah sebuah penulisan yang berkonsep "memburu harta karun" di Singapura. Projek itu sudah hampir sebulan tertangguh dek kesibukan dengan tugas.
Mana ada duit nak jalan-jalan? Duit elaun yang dapat pun cukup-cukup untuk makan minum sahaja.
Bagaimanapun, janji telah dibuat. Saya mesti siapkan buku itu secepat mungkin. Mesti!

Wednesday, October 28, 2009

Pengumuman: Projek Keraguan Munasabah


Sewaktu mula-mula menerjunkan diri ke dalam bidang penulisan, satu hasrat yang terpendam di dalam jiwa saya adalah untuk menulis karya thriller undang-undang. Waktu itu, sebagai pelajar undang-undang, saya begitu terpesona dengan karya-karya John Grisham. Memandangkan di rantau ini belum ada ikon bagi penulisan berbentuk sedemikan, maka saya terfikir, "Mengapa tidak saya?"
Maka 'The Grisham Wannabe' ini telah menulis satu novel berbentuk sedemikian. Maka, lahirlah Keraguan Munasabah. Novel tersebut mendapat kritikan yang cukup pedas daripada rakan-rakan yang telah saya minta bacakan manuskripnya. Saya masih ingat satu kritikan tersebut. Kritikan tersebut disampaikan melalui SMS sahabat saya, Fadhil oleh seorang pelajar tingkatan 3 yang telah membaca manuskrip tersebut. Kata adik itu, "Abang, dia ni tulis novel ke tulis apa?"
Saya benar-benar tersentak dengan kritikan tersebut. Jadi, saya melihat kembali di mana silapnya. Saya baca kembali novel yang telah saya tulis itu. Saya dapati ada banyak kisah-kisah yang perlu diuraikan. Soalnya, bagaimana?
Kemudian, saya mendapat gelaran The Jigsaw (Rujuk entri 29 Ogos 2009). Maka, tercetuslah idea untuk saya melengkapkan kepingan-kepingan puzzle di dalam Keraguan Munasabah. Projek ini akan melibatkan beberapa siri. Setiap siri akan menekankan tentang isu-isu tertentu di dalam undang-undang. Dua daripada siri tersebut telah saya siapkan sinopsisnya.
Dengan projek ini dan beberapa lagi karya yang di dalam tahap 'pembinaan', maka akan bertambah sumbanglah kera yang sumbang ini... Hmm, sunyinya....
"

Pedra Branca

Judul: PEDRA BRANCA; THE ROAD TO THE WORLD COURT
Oleh: Tommy Koh & S. Jayakumar

Catatan:

Buku ini mengisahkan tentang kes perebutan Pedra Branca atau Pulau Batu Putih oleh Singapura dan Malaysia. Ditulis sendiri oleh mereka yang terlibat di dalam kes tersebut, buku ini menceritakan secara kronoligikal persiapan pasukan Singapura, perbicaraan kes tersebut dan juga pasca perbicaraan.
Secara keseluruhannya, berdasarkan buku ini, saya mendapati bahawa pasukan Singapura lebih bersedia untuk menghadapi kes tersebut berbanding dengan lawan mereka. Semenjak isu timbul pada tahun 1979 di mana Malaysia telah memasukkan Pulau Batu Putih ke dalam peta Malaysia, pasukan Singapura telah memulakan langkah untuk memastikan hak mereka ke atas pulau tersebut terjamin.
Akhirnya, berdasarkan hujah dan bukti-bukti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah memutuskan bahawa Pedra Branca adalah milik Singapura. Kes ini agak menarik kerana ia bukan sahaja melibatkan isu undang-undang tetapi juga politik di antara kedua-dua negara.
Catatan ini adalah berdasarkan kepada buku ini semata-mata; cerita satu pihak. Suatu pembacaan yang amat bermanfaat sekiranya anda berminat dengan undang-undang antarabangsa (dan juga politik).
Bagi pengamal, pelajar, pengkaji dan pengajar undang-undang, lampiran-lampiran yang disediakan saya fikir boleh dimanfaatkan sepenuhnya di dalam pengkajian lebih mendalam tentang undang-undang antarabangsa. Bagi pembaca biasa, kisah yang dipaparkan pasti membuka mata bahawa hitam putih undang-undang juga ada corak-corak yang tidak membosankan.

Wednesday, October 14, 2009

Belajar Bahasa Baru

Dengan kebanjiran pendatang dari Tanah Besar China yang belum mampu bercakap di dalam Bahasa Inggeris di Singapura, saya mendapati bahawa mempelajari bahasa mereka adalah sesuatu yang perlu terutamanya di dalam kerja yang saya lakukan. Tidaklah nanti yang seorang bercakap bahasa itik, yang seorang bercakap bahasa ayam.
Sebagai langkah pertama, saya telah membeli buku Everyday English Mandarin Chines And Malay Conversations sebagai alat bantu belajar saya. Maklumlah, nak ambil kursus, mahal sangat...Tambahan pula, kerja syif menyukarkan saya untuk mengatur jadual pembelajaran saya nanti.
Tiba-tiba rasa menyesal kerana tidak mengikuti kursus bahasa yang ada sewaktu di kampus dahulu... Menyesalnya...