Friday, January 28, 2011

Universal Studios Singapura: New York City!

Klik.. klik.. Bang! Bang! Akhirnya pengembaraan saya yang sebenar pun bermula. Saya berada di New York! Hampir-hampir sebenarnya. Jalan yang diselusuri itu sedaya-upaya dicipta menyerupai kota metropolitan tersebut. Suasana retro cuba dihidupkan dengan muzik dan barisan pelakon-pelakon yang menghuni jalanan. Hampir-hampir saya merasakan yang saya berada di kota itu kalau tidak kerana cuaca yang membakar epidermis. Panas, sungguh panas. Cuaca terlalu terik sehingga mata saya hampir terpejam menahan silau mentari.
Bagaimanapun, mood untuk menyaksikan apa yang bakal terhidang di sini semakin membuak-buak. Adakah mana-mana bangunan di sini boleh dimasuki untuk melindungi diri daripadan sinaran yang boleh menyebabkan kanser?

Tuesday, January 4, 2011

Universal Studios Singapura: Senasib

Pertemuan itu langsung tidak dirancang. Sewaktu saya sedang terkontang-kanting di tengah lautan manusia itu, saya tiba-tiba terserempak dengan mereka mereka berdua. Salah seorang daripada mereka dengan kamera yang serba canggih meminta saya untuk mengambil gambar. Saya menurut permintaan itu dan setelah itu kami semua seolah-olah berjalan di dalam satu garisan yang sama.
Sedang saya mengingati nama Latif, nama seorang lagi kurang melekat di dalam kotak ingatan saya. Bagaimanapun, saya tetap ingat akan perbualan panjang yang terbit daripada mulutnya. Dia seorang yang begitu tertarik dengan Wing Chun dan juga spesis-spesis dinosor.
Tidak banyak keserasian di antara kami sebenarnya. Kami cuma ditakdirkan berada di tempat yang sama dengan nasib yang sama. Sedang yang lain-lain menikmati keseronokan bersama-sama di taman tema itu bersama-sama keluarga, kami bertiga hidup sebatang kara.

Monday, January 3, 2011

Universal Studios Singapura: Teruja!

Kembali menyambung cerita di USS. Sejurus tiba, saya tidak tahu hendak menuju ke mana. Tomoji yang bersama-sama saya di dalam bas sudah pun memberitahu ada seseorang yang menantinya di pintu masuk nanti. Melihat kepada ekspresinya, saya dapat rasakan bahawa orang itu adalah orang yang istimewa.
Rasa sesal menyelubungi kerana tidak mendapatkan tiket kedua supaya sekurang-kurangnya saya dapat membawa teman. Tidaklah saya terkontang-kanting seorang diri di situ.
Mujur saya bertemu dengan seorang lagi sahabat, SYJ. Dengan rasa simpati dia mengajak saya menyertainya dan juga abangnya masuk ke USS. Saya berasa agak canggung tetapi saya pasti lebih canggung andainya saya keseorangan.
Pintu pagar elektronik yang menghalang saya daripada terus meneroka akhirnya terbuka dengan memasukkan tiket yang telah diberi. Hati saya berdebar-debar. Sebuah dunia yang lain terbentang di hadapan mata.
Saya benar-benar teruja.