Solat terawih di masjid hari itu hanya ditunaikan sebanyak 8 rakaat. 3 rakaat witir menjadi penutup pada malam itu. Sewaktu hendak pulang keluar dari masjid, saya terpandang susunan buku kecil berwarna biru yang sengaja diletakkan di atas sebuah meja berdekatan dengan pintu keluar. Buku itu adalah buku program yang diberi nama 'Sentuhan Ramadhan'. Lantas memori saya terbawa ke zaman kampus saya. Lebih tepat lagi, zaman saya bersama rakan-rakan One Faith dan juga Al-Masaar.
Saya gagal untuk mengingat pada tahun apakah peristiwa tersebut. Apa yang saya ingat, waktu itu merupakan kali pertama One Faith dibawa membuat persembahan di Singapura. Untuk pengetahuan semua, One Faith merupakan kumpulan seni yang ditubuhkan oleh sahabat saya, Radzlan. Pada mulanya kumpulan tersebut hanya membuat persembahan nasyid. Kemudian, idea baru tercetus. Grup itu akhirnya memasukkan sketsa sebagai sebahagian daripada persembahan. Ketika itulah saya diserap masuk ke dalam One Faith.
Berbalik kepada Sentuhan Ramadhan, One Faith dan Al-Masaar (Satu lagi grup nasyid yang cukup disegani di UIA kerana kemantapan vokal dan jatidiri ahli-ahlinya) telah dijemput untuk membuat persembahan pada majlis pelancaran Sentuhan Ramadhan. Saya menyelongkar fail-ail foto yang lama dan saya menemui foto yang disertakan di atas. Foto itu menunjukkan anggota kumpulan One Faith dan Al-Masaar bersama-sama dengan Aaron Aziz dan isterinya. Di dalam majlis itu, Aaron Aziz diberi peranan sebagai pengerusi majlis. Suatu pengalaman yang indah.
Tahun itu merupakan tahun kelahiran program tersebut bagi memberi kefahaman yang jelas kepada masyarakat Singapura yang berbilang kaum tentang bulan Ramadhan yang penuh barakah. Selain itu, pelbagai aktiviti peringkat nasional telah dianjurkan di bawah label program tersebut.
Beberapa tahun sudah berlalu, apabila saya membuka buku biru tersebut, saya merasa kagum kerana program itu masih bernyawa. Di timur, di barat, di utara dan selatan, pelbagai aktiviti disusun demi memakmurkan bulan yang mulia ini. Saya tertanya-tanya berapa ramaikah yang merebut peluang itu?
Beberapa tahun sudah berlalu, dan saya merasa bangga kerana pernah menjadi sebahagian daripada detik bersejarah yang merintis jalan kepada aktiviti-aktiviti untuk memakmurkan bulan Ramadhan di peringkat nasional. Cuma harapan saya agar Ramadhan berjaya menyentuh hati-hati insan secara hakiki. Adalah sesuatu yang amat menyedihkan seandainya Sentuhan Ramadhan itu hanya dikenali sebagai nama program yang dibesar-besarkan tanpa impaknya yang sebenar. Ramadhan yang menyentuh hati. Ramadhan yang menyentuh sanubari.
No comments:
Post a Comment