Monday, August 16, 2010

Hari Ketiga: Yang Terindah

Hari Jumaat, penghulu segala hari. Cuaca juga tidak seterik semalam. Mendung. Awan berkepul membuatkan langit tidak bisa mempamerkan warnanya yang biasa. Hujan sesekali mengacah. Butirannya hanya menanti masa dan keizinan-Nya untuk gugur ke bumi.
Saya melangkah keluar dari rumah ditemani sekaki payung yang saya beli dari 7-Eleven. Kaki dua kerat saya menjadi pengangkutan. Saya terserempak dengan beberapa pejalan kaki dan penunggang basikal di tengah-tengah jalan. Ada yang menuju ke tempat yang sama. Ada yang tidak.
Kurang lebih 10 minit perjalanan, saya akhirnya tiba. Ruang masjid sudah mula dipenuhi jemaah. Saya mengambil tempat di sayap kanan.
Selesai khutbah dan solat, bilal memanggil jemaah yang berdekatan untuk menunaikan solat jenazah. Saya terkedu seketika. Jumaat pertama di bulan Ramadhan dan sudah ada yang dipanggil kembali menghadap-Nya. Alangkah indahnya penamat ini.
Yang terindah pastinya dapat kembali kepada-Nya dengan segala dosa terhapus. Dengan wajah yang putih dan bukan dengan yang hitam legam. Yang terindah pastinya menerima buku amalan dari sebelah kanan, bukan dari sebelah kiri. Yang terindah, kesudahan yang terbaik, yang sempurna.
Dari-Nya kita datang, kepada-Nya jua kita kembali...

No comments: