Dikatakan bahawa orang yang berpuasa itu dikurniakan dengan dua kebahagian. Yang pertama, sewaktu berbuka. Yang kedua, sewaktu di syurga.
Sedar tidak sedar sudah lima hari berlalu. Buat kali kedua di dalam masa yang singkat itu, saya tidak dapat berbuka di rumah bersama-sama ahli keluarga yang lain. Nyai membawakan saya bekalan untuk berbuka yang pada saya cukup untuk dikongsi bersama-sama dengan dua atau tiga orang.
"Macam nak kenduri sahaja?" saya berseloroh.
Nyai membalas, "Kalau tidak habis, boleh dibawa ke sahur."
Dengan bekalan tersebut saya ke tempat kerja. Hari ini syif malam. Sewaktu saya sampai di tempat persalinan, tiada sesiapa di situ. Saya sampai terlalu awal. Selang beberapa minit kemudian, barulah seorang demi seorang rakan sekerja sampai, John, Cool Man, Ronaldo 12 Tahun, Tomoji, Woger Ross dan Yebda Wannabe (Semuanya bukan nama sebenar). Masing-masing datang dengan bekalan berbuka puasa masing-masing.
Saya dapat melihat keletihan pada wajah mereka. Namun, pada wajah yang sama juga, saya dapat melihat kesungguhan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai seorang Muslim.
Memandangkan bilik loker itu tidak mempunyai meja, John mendapatkan sebuah supaya masing-masing dapat makan dengan lebih selesa. Yebda Wannabe pula mengorbankan i-Phonenya untuk mendengar azan setelah telefon LG saya hanya mampu mengeluarkan bunyi 'hujan' apabila fungsi radio dibuka. Kami menanti. Apabila radio mula menyiarkan tazkirah, kami tahu bahawa waktu berbuka semakin dekat.
Kami tidak banyak berbual. Saya tidak tahu kenapa. Mungkin letih. Mungkin juga kerana tiada apa yang mahu dibualkan. Apa yang pasti, kami tidak sabar menanti azan berkumandang.
Apabila akhirnya suara muazzin bergema melalui corong radio, kami mula menjamah juadah berbuka. Mengikut sunnah, saya mulakan dengan kurma yang dibekalkan nyai. Rakan-rakan yang lain sudah mula menjamah menu utama.
Ketika itu saya sedar sesuatu. Tiada satu pun yang mempamer wajah penuh keletihan. Yang ada adalah mimik kepuasan. Seolah-olah telah tiba kepada mereka suatu kejayaan. Sememangnya, suatu kejayaan. 12 jam berhempas pulas menumpaskan lawan yang bernama nafsu. Saya rasa mereka berhak untuk menikmati kemenangan tersebut. Kemenangan yang membahagiakan.
Semoga Tuhan menerima ibadah kami semua. Amin...
No comments:
Post a Comment