Bulan Ramadhan begitu sinonim dengan 2 jenis pesta; Pesta Ibadah dan Pesta Makan.
Hanya di dalam Ramadhan ini sahaja kita dapat melihat ramai manusia berpusu-pusu ke masjid, surau atau di bawah kolong apartmen HDB untuk menunaikan solat secara berjamaah. Di penghujung bulan pula ramai yang beriktikaf di masjid untuk mencari malam yang lebih baik dari seribu bulan, malam al-qadr. Malah ada yang sudah mula beriktikaf semenjak malam pertama lagi. Masjid begitu meriah dengan jemaah. Di corong-corongnya terdengar suara imam mengalunkan ayat-ayat al-Quran yang cukup mengasyikkan dan menyentuh perasaan. Sesekali diadakan ceramah dan tazkirah dan pelbagai majlis ilmu sebagai peringatan bagi yang memberi dan yang menerima. Tangan-tangan pula cukup ringan mengeluarkan infaq demi kebajikan mereka-mereka yang kurang bernasib baik.
Masing-masing berebut-rebut. Masing-masing berlumba-lumba demi untuk mencari keredhaan-Nya. Sememangnya suatu pesta ibadah.
Di suatu sudut yang lain pula, pesta yang lain turut berlangsung. Khemah-khemah telah dibuka semenjak hari pertama Ramadhan. Operasi sudahpun bermula sedang belumpun masuk waktu zohor. Terik mentari menjadikan keringat yang dikerah berganda-ganda. Peniaga-peniaga tersenyum melayan kehendak pelanggan-pelanggannya. Puas dengan rezeki yang dikurniakan di dalam bulan yang penuh barakah ini.
Di dalam bulan ini sahajalah kita dapat melihat dan menjamah pelbagai jenis makanan yang ada di antaranya tidak pernah kita lihat sebelum ini. Apabila kaki mula menjejak ke bazar Ramadhan, mata mulai rambang untuk memilih makanan apa yang terbaik untuk berbuka puasa. Itu mahu. Ini pun mahu. Sudah-sudahnya, pukul rata. Itu beli. Ini pun beli. Perut yang kosong dijadikan alasan untuk menghadam semua makanan yang telah dibeli itu.
Sayangnya, tidak semua yang berjaya dimakan. Sudah-sudahnya, ada yang terbuang begitu sahaja. Hendak disimpan ke sahur, dikatakan takut basi. Padahal diri sendiri malas untuk bangun bersahur.
Di dalam bulan Ramadhan ada 2 jenis pesta. Pesta manakah yang menjadi pilihan kita?
No comments:
Post a Comment