Wednesday, November 24, 2010

Universal Studios Singapura: Prolog

21 November 2010 adalah tarikh yang amat saya nantikan. Saya berpeluang untuk ke Universal Studios Singapura dengan percuma. Ya, dengan PERCUMA!
Tiket yang sepatutnya berharga S$ 72/- itu saya perolehi hasil ihsan pihak G Care demi menghargai jasa dan sumbangan anggota-anggotanya. Namun, segala-galanya tidak bermula dengan lancar.
Seawal jam 8 pagi saya telah keluar dari rumah. Seperti biasa, nyai akan bertanya, "Kena panggilkah?"
Saya hanya tersenyum dan berkata, "Tidaklah. Mahu ke Sentosa. Makan angin."
Sebaik tiba di tempat berhimpun sebelum berangkat ke USS, saya ke meja pendaftaran. Sudah ramai yang tiba dan menanti untuk diangkut ke USS. Saya dapat melihat wajah-wajah yang teruja kegembiraan. Manakan tidak. Tiket percuma ke USS! Mungkin ini adalah pengalaman seumur hidup untuk sebahagian orang termasuklah diri saya.
"Nama?" Tanya pegawai yang menjaga bahagian pendaftaran. Saya teringat pernah melihatnya di unit kebajikan tetapi tidak pula saya ingat namanya.
Saya berikan nama saya dan pegawai itu mula mencari-cari nama saya di dalam senarai penerima tiket.
"Nama awak... Tidak ada pun."
Terlopong saya seketika. Adakah perjalanan saya akan berakhir di sini? Bakal musnahkan harapan saya untuk mengunjungi USS yang mungkin merupakan satu-satunya peluang untuk saya ke sana?
"Tidak mengapa," pegawai itu berkata. "Awak bagi nombor telefon dan nama awak. Sekiranya ada tiket yang tidak dituntut, kami akan hubungi awak."
Di atas sekeping kertas putih, saya meletakkan nama dan nombor telefon saya. Begitu juga harapan saya. Di atas kertas itu, saya juga terlihat satu lagi nama yang cukup saya kenali. Rupa-rupanya ada orang lain yang senasib saya.
Program lawatan dimulakan dengan acara cabutan bertuah. Semua orang menanti kalau-kalau mereka akan menerima mana-mana hadiah cabutan bertuah tersebut. Saya pula berdebar menanti nasib saya. Adakah saya akan berpeluang menjejak USS hari ini? Atau adakah saya akan pulang hampa?