Syif pagi yang pertama dalam bulan puasa benar-benar menguji ketahanan dan fokus ketika bekerja. Ada yang tersangguk-sangguk menahan rasa mengantuk. Ada yang perut mulai menyanyi lagu keroncong seawal jam 10 pagi. Mujur hari itu tidak begitu sibuk. Mungkin ini adalah rahmah yang dikatakan menghujani awal bulan Ramadahan.
Tatkala jam mencecah 6 petang, mulai kedengaran soalan, "Siapa yang beli makanan untuk berbuka?"
Jelas, soalan itu ditujukan kepada orang yang paling tidak sibuk pada hari itu, saya. Seperti biasa, saya mengeluarkan senarai beli makanan dikepil bersama-sama beg plastik kecil untuk mengisi duit. Pesanan diambil, duit dikumpul. Rasanya saya perlu mengucapkan terima kasih kepada Mr. John (Bukan nama sebenar) kerana menemani saya untuk membeli juadah berbuka.
Jauh di sudut hati, saya begitu kagum dengan keazaman rakan-rakan sekerja saya untuk berpuasa. Ada di antara mereka yang baru tahun ini mula berpuasa. Ada juga yang jenis jinak-jinak merpati. Namun, kebersamaan berpuasa membuatkan saya tidak sabar menanti melihat kegembiraan yang diserlahkan sewaktu berbuka nanti.
Tempat jualan juadah hanya di seberang jalan. Kami melintas penuh berhati-hati hanya untuk ditemukan dengan wajah-wajah yang amat dikenali di seberang jalan. Dengan sepuntung rokok yang masih berasap di tangan masing-masing mereka membalas senyuman kami. Saya mengerti kenapa rokok itu berasap kerana masing-masing bukanlah orang yang di tengah-tengah namanya ada 'Bin' atau 'Binti' kecuali seorang. Orang itu sedikit tertunduk-tunduk dan saya mengerti kenapa dia berasa sedemikian. Sekurang-kurangnya ada sedikit malu di dalam dirinya apabila menyedari dirinya mencemarkan kesucian bulan Ramadahan secara terbuka.
Dalam pada itu, saya juga merasa betapa selama ini saya ibarat seperti katak di bawah tempurung. Saya sentiasa berada di dalam ruang selesa saya. Kawan-kawan yang baik, bi'ah yang solehah, ibubapa yang sentiasa melindungi saya daripada anasir-anasir mungkar. Saya bersyukur untuk semua itu.
Namun, kini saya sudah keluar daripada tempurung itu, di tempat di mana manusia tidak segan silu melakukan kemungkaran. Di saat ini saya cuba memahami alasan di sebalik perbuatan-perbuatan tersebut. Adakah kerana jahil? Adakah kerana tiada yang mahu mengambil peduli? Adakah kerana sistem yang tidak mengizinkan? Atau adalah hanya kerana sewenang-wenangnya tidak mempunyai azam dan keinginan?
Saya juga tertanya-tanya, adakah mereka mampu untuk keluar dari ruang selesa mereka? Tempurung mereka?
Teringat saya akan kata-kata seorang sahabat saya, "Kalau kita hendak mengeluarkan orang dari lumpur, kita juga akan tercalit dengan lumpur itu demi menyelamatkan mereka."
Sesungguhnya Dia sahaja Yang Maha Mengetahui...
1 comment:
Tercalit dalam lumpur tp jgn tenggelam di dalam lumpur tu skali sbb U have to be the one to pull all of them out from there or at least try to help.
Sometimes the best dakwah approach is to understand them and their background n thus maknanya kenalah tercalit lumpur tu kan?
Tak rase ke mcm satu hikmah, Allah put you there maybe for u to assist them and to lead them to the right path. Insya-Allah.
Post a Comment