Saturday, August 14, 2010

Hari Kedua: Cobaan!

Saya tidak tahu berapakah tahap darjah celcius cuaca pada hari ini tetapi panasnya memang membahang. Namun, keterikan hari tidak menghalang saya untuk keluar merayap setelah cukup hibernasi selama empat jam di atas tilam yang empuk. Usai jam dua petang, setelah solat Zohor, saya mengatur langkah ke City Hall.
Cuaca yang panas benar-benar menguji ketahanan diri tambah-tambah kepada yang sedang berpuasa. Tekak yang sememangnya kering mula terliur apabila melihat apek-apek menjual aiskrim di Bedok Bus Interchange. Cobaan!
Pandangan segera dialihkan agar iman tidak tergugah dengan cubaan tersebut. Tidak namanya puasa kalau tidak merasa lapar dan dahaga. Ujian ini cuma ujian kecil agar kita mengingati saudara-saudara kita yang makan dan minumnya tidak pernah cukup saban hari. Beras dan gandum dicatu. Air juga terpaksa dikongsi di dalam satu bekas. Sedangkan kita... berlambak-lambak kedai menjual juadah berbuka. Rangkaian makanan segera juga menawarkan promosi berbuka puasa yang mengiurkan. Makan bukan lagi cukup-cukup. Bahkan sudah melebih-lebih. Kita makan demi sedap tekak. Mereka makan demi untuk hidup.
Dari ujian yang kecil, berpindah pula kepada ujian yang lebih besar. Berapa ramai di antara kita yang puasanya hanya setakat lapar dan dahaga sahaja? Barangkali kerana cuaca yang agak panas, maka ramai yang 'terpaksa' mendedahkan kulit mereka yang kepanasan itu. Mata terlihat. Kurang lagi satu pahala. Cobaan!
Kesabaran juga turut teruji. Apabila masa mula mendekati waktu berbuka, maka mulalah ramai yang tergesa-gesa untuk pulang ke rumah. Fikiran mula tertumpu kepada juadah apa yang bakal menjadi suapan. Untuk pulang ke rumah pula terpaksa menunggu bas. Penantian itu semenangnya suatu penyeksaan. Apabila bas sudah sampai, hati merasa lega kerana penantian itu bakal terakhir. Disangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Sudahlah kaki lenguh beratur di dalam barisan yang disediakan, ada pula golongan manusia yang buta peraturan memintas barisan itu seolah-olah bas itu hanya mempunyai satu tempat duduk. Hati mula memaki-hamun. Tolak lagi satu poin. Cobaan!
Sesungguhnya bulan puasa adalah bulan rahmah. Untuk mendapat rahmah itu semestinya bukan dengan percuma. Ada ujian yang perlu dilalui supaya layak untuk kita memperoleh rahmat tersebut. Ada yang berbentuk fizikal. Ada yang spiritual. Tepuk dada, tanya iman. Adakah kita mahu puasa kita setakat lapar dan dahaga?

No comments: