Tuesday, October 26, 2010

Yang Mana Satu PIlihan Kalbu?

Kurang dua bulan lagi, kaki ini akan melangkah ke satu dunia yang baru. Terbentang pilihan-pilihan di hadapan mata membuatkan fikiran jadi tidak menentu. Matlamat utama itu sudah jelas. Cuma soalnya, jalan mana yang harus menjadi pilihan.

Hati tambah tidak keruan apabila orang-orang di kampung mula bertanyakan bila akan berumahtangga. Khabar-khabar angin membuatkan diri menjadi tambah tidak tenteram. Dengan hidup yang kusut-masai dengan persoalan-persoalan peribadi, mampukah diri memimpin jiwa yang lain di atas titian yang lurus?

Keraguan masih menghantui perasaan. Diri ini sedar bahawa ragu-ragu itu adalah bisikan daripada suara yang tenggelam-timbul. Memang menjadi tugasnya untuk sentiasa menimbulkan keraguan. Diluah mati emak, ditelan mati bapa.

Berada terlalu lama di persimpangan adalah suatu kezaliman. Tidak seharusnya perkara itu menjadi suatu kelaziman. Diri ini pasrah. Sungguh, kaki itu masih teragak-agak untuk melangkah.

Friday, October 15, 2010

Kelahiran 'Anak' Ke-2

Telah lama saya merancang untuk mengembangkan 'keluarga' DZAI. Maka, pada hari ini telah dilancarkan satu lagi sub-blog DZAI yang khas menceritakan tentang filem-filem, drama mahupun animasi yang telah saya tonton.
Blog yang dinamakan Layar DZAI adalah suatu perkongsian tentang apa yang saya perolehi setelah menonton sesuatu tayangan. Apa yang baik, moga dapat dimanfaatkan bersama. Apa yang tidak, sama-samalah perbetulkan.
Para pembaca adalah cermin bagi diri saya, Tanpa anda sekalian, saya tidak akan dapat melihat kecacatan yang ada pada diri saya.
Jadi, terimalah anak saya yang kedua. Layar DZAI!

Saturday, October 9, 2010

Menghitung Hari, Menghitung Cinta

Lagi dua bulan. Sungguh tidak disangka, tempoh dua tahun kini berbaki dua bulan sahaja. Apabila saat-saat 'kemerdekaan' semakin dekat, semakin terjelma perasaan bernama rindu. Akan saya rindui semua saat-saat ini biarpun yang dirindui itu tidak semuanya yang indah.

Saya tidak mahu terburu-buru meniti hari-hari terakhir sebagai anggota kerahan tenaga sepenuh masa. Ya, memang benar saya akan kembali sebagai anggota kerahan tenaga simpanan untuk tempoh dua puluh tahun mendatang. Namun, pastinya pengalaman dua tahun ini adalah pengalaman yang terbaik pernah saya alami. Saya menemui suasana yang baru. Saya menemui rakan-rakan yang baru.

Walaupun dilahirkan di tanah ini, segala-galanya adalah terlalu asing buat diri saya. 27 tahun usia yang dikurniakan kepada saya setakat ini, jodoh saya bersama tanah kelahiran ini hanya berpanjangan untuk tempoh yang singkat sahaja. Namun, untuk tempoh yang singkat itu juga saya telah jatuh cinta.

Kenapa tidak? Tanah inilah tanah tumpah darah saya. Tanah tumpah darah ibubapa saya. Patriotisme adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Saya tetap bangga mengibar bendera merah putih dengan bulan sabit dan lima bintang itu. Cinta adalah suatu lumrah. Cara menyintai itu yang kadang-kadang berbeza. Ada yang menyenangkan. Ada yang memudaratkan.

Di dalam menghitung hari, saya juga menghitung cinta. Perhitungan itu berbahagi-bahagi. Namun, tidak syak lagi, cinta kepada-Nya juga yang paling utama.