10 hari terasa begitu pantas berlalu. Di dalam sepuluh hari itu, rutin yang sama dilalui. Saya akan ketinggalan solat terawih setiap kali malam. Sesuatu yang amat saya sesali. Namun, melunaskan tanggungjawab juga adalah satu ibadah seandainya kita ikhlas melakukan. Mudah-mudahan Tuhan mengurniakan ganjaran di atas segala perkara baik yang telah kita lakukan.
Sepatutnya pada hari ke sepuluh ini, kita sudah dapat merasai perubahan ke atas diri kita. Saiz pinggang yang susut, suara mulai serak-serak dan tidak lupa juga bilangan jemaah yang semakin kurang bersolat terawih di masjid. Ini adalah tanda-tanda fizikal yang biasa dapat dilihat sebaik tamatnya bahagian pertama bulan yang mulia ini.
Adapun begitu, alangkah baiknya jika kita dapat melihat perubahan kepada rohani kita tatkala masa semakin berlalu. Adakah ikatan kita dengan Tuhan semakin erat atau adakah ikatan itu semakin terlerai? Adakah kita melakukan sesuatu seolah-olah kita melihat Dia dan Dia melihat kita? Sejauh manakah kita sedar bahawa segala gerak-geri kita diperhatikan dan dicatit Raqib dan Atid di dalam buku amalan kita?
Saya mahu memberi satu analogi yang mudah. Filem The Matrix ada 3 bahagian. Di dalam bahagian yang pertama, Neo berjaya menemui potensinya sebagai The One. Bagaimana dengan kita pula? Kepada apakah kita berubah sebaik tamat bahagian pertama bulan Ramadahan kali ini? Adakah kita sudah mampu melihat?
No comments:
Post a Comment