Sedar tidak sedar, sudah seminggu berlalu. Begitu cepat Ramadahan tiba, begitu cepat pula ia mahu meninggalkan kita. Saya tidak tahu adakah kecepatan masa ini adalah kerana bulan, bumi dan matahari semakin pantas berputar pada paksinya atau disebabkan oleh perasaan sahaja. Barangkali ada pakar astronomi yang dapat menjelaskan fenomena yang pelik ini. Barangkali juga saya patut merujuk kepada pakar psikologi.
Dikatakan masa pantas berlalu kerana di hadapan saya terbentang sindrom-sindrom pra-aidilfitri. Di antara sindrom-sindrom itu adalah radio-radio sudah mengumandangkan lagu-lagu raya sedang anak bulan Ramadhan belumpun menampakkan dirinya. Ya, anak bulan Ramadhan, bukan anak bulan Syawal. Geylang Serai sudah mula meriah dengan gerai-gerai yang menjual pelbagai kuih-muih, baju raya dan juga pelbagai lagi barang bagi persiapan raya. Di dalam otak masing-masing, apa yang terpapar adalah hari raya.
Betapa kita begitu bersedia untuk menghadapi 1 Syawal sehingga kita sudah bersiap-siap untuk menghadapi hari tersebut awal sebulan bahkan ada yang lebih awal daripada itu. Tiada celanya untuk bersedia. Di musim-musim perayaan ini, sememangnya kita dianjurkan untuk merancang supaya poket tidaklah berlubang apabila tiba hari raya nanti.
Sungguh, kita sememangnya makhluk yang waspada.
Namun, mungkin kerana kesibukan kita merancang dan melaksanakan perancangan tersebut, kita tidak sedar masa berlalu begitu pantas. Kita tidak sedar bahawa masa-masa yang berlalu itu merupakan detik-detik yang paling berharga untuk kita kutip dan titip sebagai bekalan kita untuk ke destinasi terakhir kita. Satu hari menjadi seminggu. Seminggu akhirnya menjadi sebulan tanpa kita sedar apa sebenarnya yang telah kita lepaskan.
Ruginya... Rahmat, kemaafan dan kelepasan daripada azab neraka semuanya terlepas begitu sahaja. Sayangnya...
1 comment:
antara tanda kiamat kecil; dunia terasa begitu cepat berlalu...
Post a Comment