Menjelang 10 hari terakhir bulan Ramadahan, maka semakin meriahlah susasana di masjid-masjid. Tidak kurang juga meriahnya di bazar-bazar Ramadhan. Soalan seperti, "Kau sudah beli baju Raya?" semakin kerap menyinggah telinga membuatkan hati terasa semakin syahdu. Apatah lagi bila diri berada jauh daripada Ummi, Abi dan adik-adik.
Sesekali rakan-rakan mengusik dengan lagu-lagu Raya. Hati merasa bersemangat bila mendengar lagu Dendang Perantau tetapi bertukar syahdu apabila Dari Jauh Kupohon Maaf menerjah gegendang telinga. Namun, apabila lagu Balik Kampung berdendang, semangat itu kembali semula.
Tinggal 10 hari, fikiran hanya mengingatkan 1 tarikh; 1 Syawal. Sayangnya jika hanya satu hari itu sahaja yang kita ingat dan dambakan.
Adakah kita terlupa akan Laila? Di sebalik namanya tersemat seribu nikmat. Nikmat yang berpanjangan untuk 1000 bulan. Soalnya, bilakah akan bertemu? Mungkinkah bertemu?
Ada yang berkata malam ke-27 adalah malamnya. Ada yang berkata pada malam-malam ganjil di dalam 10 malam yang terakhir. Ada yang berkata pada salah satu malam di dalam 10 malam terakhir. Apa jua pendapat dan pengalaman mereka, yang penting, kita mungkin akan bertemu Laila di dalam salah satu malam di dalam bulan Ramadhan. Syaratnya mudah. Kita perlu mencari.
Soalnya, adakah kita mencari? Atau fikiran kita hanya mengingatkan kepada Syawal berbanding Laila?
No comments:
Post a Comment