Seorang rakan bukan Muslim pernah bertanya, "Bulan puasa boleh melakukan seks atau tidak?"
Tanpa berfikir lebih panjang, saya menjawab, "Boleh. Jika dilakukan pada malam hari."
Dia bertanya lagi, "Adakah perkara tersebut dibolehkan untuk semua orang?"
Sekali lagi, tanpa berfikir panjang saya menjawab, "Untuk suami isteri, mereka boleh bersama pada malam hari di dalam bulan Ramadhan."
Kemudian, rakan saya itu tersengih-sengih bagai kerang busuk.
"Kalau bukan suami isteri bagaimana?"
Saya terkedu seketika. Seolah-olah saya telah terjerat dengan jawapan yang telah saya berikan. Di dalam fikiran saya, saya berkira-kira ke mana perbualan ini akan dibawa.
Akhirnya, saya menjawab, "Kalau bukan suami isteri, tidak kira siang atau malam, tidak kira bulan Ramadhan atau tidak, perbuatan tersebut adalah dilarang."
"Kira haramlah, ya?"
Saya mengangguk-angguk.
"Tapi, saya tengok ramai sahaja orang yang buat. Maksud saya, orang Islam yang buat benda tu."
Saya terdiam seketika. Saya sudah mengagak perbualan ini akan sampai ke tahap ini jua. Lalu, secara berseloroh saya membalas, "Awak tengok? Ish, haram tu!"
Rakan saya itu terkekek geli hati. "Bukan begitu. Saya ini sudah berkahwin. Saya tahulah kalau seseorang itu ada melakukan seks. Tambah-tambah lagi kalau mulut sendiri yang bercerita."
Saya hanya tersenyum. Fikiran saya cuba mengagak siapalah orang Islam yang dimaksudkan itu.
"Yang peliknya, orang itu berpuasa."
"Entahlah. Hak itu biarlah diuruskan antara dirinya dengan Tuhan."
Perbualan kami terhenti di situ. Fikiran saya mulai menerawang. Teringat akan sebuah hadith tentang kahwin. Nabi kata, kalau mampu kahwinlah. Kalau tidak mampu, berpuasalah. Sesungguhnya puasa itu adalah perisai. Tapi, andai benarlah bagai didakwa, perisai itu sudah tidak ada gunanya.
Lantas, membuatkan saya terfikir, di manakah punca masalahnya?
No comments:
Post a Comment