Jikalau di kampung, saat-saat ini, orang-orang sudah bersedia menanti di hadapan peti televisyen menanti pengumuman raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Kalau nampak anak bulan pada malam ini, maka bermakna 1 Syawal akan jatuh pada esok hari. Maka, esoklah raya. Walaupun dewasa ini, anak bulan agak segan untuk memunculkan dirinya namun, debaran menanti pengumuman itu adalah sesuatu yang amat nostalgik.
Pada malam ini, saya bertugas bersama-sama rakan-rakan sekerja yang lain. Berdasarkan perkiraan, hari raya akan jatuh pada hari Jumaat yang kebetulan jatuh pada hari kelepasan kedua syif kami. Alhamdulillah, dapat juga beraya pada tahun ini. Bagi yang bernasib baik di dalam cabutan undi cuti raya, cuti mereka dilanjutkan sehingga ke hari Sabtu dan Ahad. Para NSF seperti saya pula kurang bernasib baik kerana tidak dibenarkan mengambil cuti pada hari Sabtu dan Ahad kerana kekurangan tenaga kerja.
Bagaimanapun, kami tidak boleh merungut kerana kami tetap diberi peluang untuk bercuti dengan syarat kami dapat mencari pengganti dari pasukan lain untuk kedua-dua hari tersebut. Kami memilih untuk tidak mencari pengganti.
Saya sudah mengagak akan berhadapan dengan situasi seperti ini. Oleh itu, saya telah memilih untuk mengambil cuti pada syif yang seterusnya. Dengan itu dapatlah saya pulang ke kampung beraya bersama-sama keluarga tanpa perlu berebut dengan orang lain ataupun perlu mencari pengganti.
Saya amat bersyukur kerana cuti saya diluluskan. Di dalam fikiran saya berangan-angan memakai baju melayu dengan kain sampin sambil menaiki kapal terbang untuk pulang ke kampung.
Oooo... balik kampung. Oooo.. balik kampung. Oooo... balik kampung. Hati girang.
No comments:
Post a Comment