Friday, September 17, 2010

Hari Ke 26-28: Tiga Hari Biasa Yang Luarbiasa

Semakin menghampiri penghujung, semakin kerap saya mendongak ke langit. Akhirnya, setelah 26 hari, pada malam ke-27, saya berupaya merasainya. Manik-manik jernih menitis, mengingati kekotoran yang melekat di dalam hati ini. Saya terasa kotor. Jijik.
Kemudian, hati bergetar saat mengalun surah al-Waqiah di dalam tahajjud. Makin galak manik-manik jernih itu menitis. Sungguh luarbiasa sekali rasanya. Seolah-olah neraka itu terlalu dekat dengan diri ini. Neraka yang bahan bakarnya daripada batu dan manusia. Terbayang kengerian apabila mengingati bahawa kekotoran yang tidak dibersihkan mungkin akan menjadikan saya salah satu daripada bahan api itu.
Segala sendiku longlai. Hampir saya terjelepuk tatkala menyedari diri ini dikelilingi dengan noda. Sampai ke satu tahap, lidah ini merasa tidak sanggup lagi untuk meneruskan bacaan surah di dalam solat.
Ya, Tuhan ampunilah dosaku. Lindungilah aku daripada mengulangi kesilapan yang bisa mendatangkan kembali kekotoran yang sama. Kotor yang bermula dengan satu bintik hitam. Supaya yang satu itu terpadam dan tidak menjadi dua. Yang dua itu tidak pula menjadi berganda-ganda.
Luarbiasa. Sungguh luarbiasa.

No comments: