Monday, October 12, 2009

Yang Terbaik Yang Boleh Aku Buat (Bhg 3)

Dibaca:- m/s 132-251
Peratus dibaca setakat ini:-84.8%
Tempoh membaca: 12 hari
Catatan:-
Saya tahu saya bukan seorang pembaca yang pantas. Apatah lagi saya perlu menafsirkan apa yang saya baca terlebih dahulu ke dalam Bahasa Melayu, bahasa ibunda saya, untuk memahami keseluruhan konteks penceritaan penulis. Jadi, apabila seorang rakan mengkritik kelembapan saya di dalam membaca buku ini (dia mendakwa dia boleh menghabiskan buku ini di dalam masa 3 atau 4 jam), saya rasakan kritikan itu tidak adil. Bagaimanapun, saya mengambil kritikan tersebut sebagai pemangkin untuk mempertingkatkan diri saya di dalam membaca dan memahami bahan yang ditulis di dalam bahasa selain daripada bahasa ibunda saya.
Berbalik kepada buku ini, penulis telah memasukkan beberapa kes profil tinggi yang pernah diuruskannya sebagai perkongsian dengan pembaca. Alasannya cukup mudah dan logikal; sesuatu yang sudah dikenali, mudah difahami. Kata orang Melayu, tak kenal maka tak cinta. Ironinya, selain daripada kes Tan Chor Jin (Naga Bermata Satu), kesemua kes ini adalah begitu asing bagi saya memandangkan kes-kes ini hanya mendapat liputan yang meluas di Singapura sedangkan ketika kes-kes ini berjalan, saya masih berada di Malaysia. Bagaimanapun, perkara ini tidak bisa mengelakkan saya daripada jatuh cinta untuk terus membaca kes-kes yang dipersembahkan.
Saya mendapati, di permulaan bahagian ini, penulis telah menetapkan suatu prinsip yang bagus bagi mana-mana bakal pengamal undang-undang apabila seseorang datang dan meminta untuk diwakili di dalam mahkamah. Satu; pastikan bahawa anak guam/bakal anak guam itu benar-benar jujur dengan kita dan dua; mesti ada kemistri/keserasian di antara peguam dan anak guam. Kedua-dua prinsip ini penting di dalam memastikan kelancaran perjalanan proses pembelaan/perwakilan seseorang anak guam di dalam mahkamah. Saya rasakan bahawa sepatutnya tidak ada halangan bagi mana-mana pihak untuk mendedahkan segala-galanya kepada peguam yang dihajati kerana setiap peguam terikat dengan tugas memelihara kerahsiaan anak guam sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 24 LEGAL PROFESSION (PROFESSIONAL CONDUCT) RULES. Kegagalan memelihara kerahsiaan ini boleh menyebabkan seseorang peguam itu dikenakan tindakan disiplin di bawah Seksyen 71 Legal Profession Act.
Di dalam kes-kes yang dipersembahkan, penulis nampaknya berhajat untuk menunjukkan bahawa semua orang, termasuk pelanggar undang-undang yang amat tidak bermoral juga berhak untuk mendapat perbicaraan yang berperaturan. Hal ini dapat dilihat di dalam komen-komen berani mati penulis terhadap pihak pendakwa yang sebahagiannya difikirkan hanya mahu tertuduh dihukum dengan hukuman yang paling dahsyat tanpa memikirkan sama ada hukuman itu adil atau tidak, pihak penyiasat (polis, CPIB, CNB dll) yang sebahagiannya hanya mahu mencari jalan singkat/mudah di dalam tugas-tugas mereka (lihat Took Leng How sebagai contoh), para hakim yang sebahagiannya dilihat mengabaikan prinsip umum kehakiman (lihat Tan Chor Jin sebagai contoh) dan sebahagian anak guam yang tidak pandai tetapi buat-buat pandai.
Bagaimanapun, tidak semua tulisannya bernada kritikan. Penulis turut menghambur pujian terhadap sebahagian yang lain yang dipercayai telah memenuhi intisari keadilan di dalam kes-kes yang dilaksanakan. Senang cakap, penulis tidak kisah kalau kalah, asal kalah bermaruah dan lawannya juga menang bermaruah. (Bersambung...)

No comments: