Saturday, November 28, 2015

Road to KEMNAS 3: Episod 6 (Kisah tandas 1)


Sewaktu hari pertama kami tiba di tapak perkhemahan Coban Rondo, perkara pertama yang kami cari adalah tandas. Di kawasan ini, tandas-tandas awam telah dibina di beberapa lokasi. Ada lebih kurang 20 buah semuanya. Salah satu lokasi kegemaran saya mempunyai 4 buah tandas.
Pada saat itu keempat-empat tandas tersebut dikuasai oleh lelaki. Waktu itu hanya ada kami dari Malaysia. Para wanita apabila melihat keempat-empat tandas itu digunakan dan kebetulan di hadapan setiap pintu itu ada lelaki yang menanti, terpaksa beransur ke lokasi yang lain. 
Lelaki-lelaki itu pulang tersenyum kepuasan. 
Masuk hari kedua, apabila jumlah peserta semakin bertambah, saya ke tandas tersebut setelah bangun pagi dan mengejutkan anak-anak di dalam khemah. Sangka saya, saya yang terawal sampai. Ternyata sangkaan itu meleset apabila sudah ada barisan-barisan yang menanti di hadapan tandas. Saya lihat jam di tangan. Ada lebih kurang 30 minit sebelum subuh. Yang paling mengejutkan saya ialah tandas-tandas yang dikuasai oleh lelaki semalam telah diambil alih oleh para wanita. 
Saya sedikit hairan. Bukankah semalam tandas itu sudah di'chop' oleh lelaki? Kemudian, saya terfikir lagi. Oh, tandas itu mana ada label? 
Jadi, dengan perasaan rendah hati, saya pula terpaksa beralih ke lokasi yang lain, 
Perempuan-perempuan itu pula yang tersenyum kepuasan. 

Bersambung...  

Thursday, November 26, 2015

Road to KEMNAS 3: Episod 5 (Ukhuwwah 2)

Sebagaimana ditekankan banyak kali oleh Ustaz Abdul Rahaim (Ketua Kontinjen) bahawa objektif program ini adalah ukhuwwah. Kegiatan itu tidak harus terhenti di kalangan kontinjen sendiri sahaja, bahkan harus menyebarluas kepada kontinjen Indonesia yang datangnya dari pelbagai provinsi. Salah satu kegiatan yang dianjurkan adalah kegiatan 'Anjungan' di mana setiap peserta diberi kebebasan untuk saling ziarah-menziarahi 'kelurahan' masing-masing untuk berta'aruf.  
Bagi menggalakkan aktiviti ini, para peserta terutamanya anak-anak dibekalkan dengan sebuah buku di mana di dalam buku itu anak-anak dapat mengisi maklumat rakan-rakan yang baru dikenali. Kelihatan anak-anak dari Indonesia begitu aktif mencari teman-teman baru dan anak-anak dari Malaysia menjadi sasaran yang paling popular. Berbezanya mereka dengan kita bukan sahaja dari segi uniform bahkan dari jiwa mereka yang begitu teruja untuk berkenalan. Anak-anak kita? Pantang ada masa lapang, dikeluarkan smartphone, dan itulah ratib mereka sepanjang hari. Barangkali, segala gajet itu perlu diharamkan pada kunjungan akan datang. 
Ada juga yang rajin ke 'kelurahan' yang lain. Saling bertukar hadiah atau 'kenang-kenangan'. Apabila mereka pulang ke tapak perkhemahan, wajah-wajah ceria terpancar. Ditunjukkan pada saya hadiah-hadiah yang diperolehi. Ditunjukkan juga nama-nama sahabat baru yang berjaya disantuni. Ada yang tiba-tiba sudah fasih berbahasa Indonesia. Ya Tuhan, mudah-mudahan ikatan ini akan kekal hingga ke syurga.

Bersambung...

Road to KEMNAS 3: Episod 4 (Ukhuwwah 1)

Suatu hari, saya diuji dengan cirit-birit. Barangkali kerana tubuh saya kurang lasak. Salah saya juga. Hari-hari makan sambal. Sedang perut saya sebenarnya tidak mampu untuk menghadam makanan itu. Apa pilihan yang saya ada? Hanya itu sahaja yang ada buat pembasah dan penambah perisa nasi kotak yang menjadi hidangan kami setiap hari. Tambahan pula, sambal itu memang luar biasa lazatnya. 
Berbalik kepada perut saya yang telah dizalimi itu, akhirnya saya tewas. Walaupun cuba digagahi, saya tewas. Air yang terbuang dengan banyaknya membuatkan saya lesu. Saya berikhitiar dengan mendapatkan ubat dan juga minum air yang banyak tetapi sakitnya mencucuk ulu hati. Saya hanya mampu terbaring hampir sepanjang hari sedang yang lain-lain ke sana sini menziarahi teman-teman di sepelusuk tapak perkhemahan. 
Keadaan saya disedari oleh Ustaz Syathair (Al Islah Sungai Petani). Akan saya ingati individu ini. Di sebalik penampilannya yang sederhana, tersembunyi susuk yang cukup hebat dan besar jiwanya. Bagaimana dia datang dengan terpaksa menampung sebahagian perbelanjaan. Bagaimana dia yang asalnya ditugaskan untuk mengiringi anak-anak muridnya sahaja tetapi apabila sampai, beliau diminta pula untuk menjadi kem komandan bagi kontinjen sekolah rendah. Tanpa banyak soal dia mengambil tugas itu. Tidak sekalipun saya dengar dia merungut menerima tugas secara ad hoc sebegitu. Bagaimana dia dengan penuh rasa tanggungjawab, apabila menyedari keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan, memberi kelonggaran kepada saya untuk tidak mengiringi anak-anak yang diamanahkan kepada saya sehingga saya pulih, Bahkan beliau mendapatkan saya sebungkus teh pekat untuk mengurangkan cirit-birit saya.
Tidak lupa juga kepada Ustaz Zul (As Saidiyyah, Seremban) dan Ustaz Shukri. Banyak mutiara-mutiara hikmah yang saya perolehi sepanjag bergaul dengan mereka. Tidak banyak kata-kata yang terbit daripada mulut mereka tetapi pergaulan mereka bersama anak-anak, rakan-rakan, orang atasan dan teman-teman dari Indonesia menggambarkan qudwah hasanah yang semakin menjelaskan erti ukhuwwah itu dalam gambaran yang paling tulus. 
Allahuakbar.. sesusungguhnya mata ini, hati ini telah menyaksikan sesuatu yang indah. Ya, bumi Malang memang indah, Ukhuwwah ini lebih indah. Malang mempertemukan dua telapak kaki yang asing dengan bumi yang asing. Tetapi apabila, dia telapak kaki itu bersentuh, seolah-oleh seluruh bumi Malang itu terus bertaut dengan hati. Di bumi ini juga, dua individu yang tidak pernah bertemu sebelum ini dipertemukan dan dipertautkan hati mereka dengan ikatan ukhuwwah yang lengkap rukunnya.    
Saat kami terpaksa berpisah di KLIA2, di dalam pelukan terakhir, saya sempat mengatakan kepada Ustaz Syathair,  "Ustaz, ana akan rindui ustaz." Dan itulah sebenar-benarnya perasaan yang saya rasa setiap kali mengenangkan musafir kami di sini.

Bersambung...

Wednesday, November 18, 2015

Road to KEMNAS 3: Episod 3 (Epal)

Wisata Kota Batu terkenal dengan ladang-ladang epalnya. Kontinjen kami berkesempatan untuk melawat salah satu ladang tersebut. Masuk dan makanlah sepuas-puasnya epal yang ada. Disebabkan manusia yang ramai ditambah dengan musim kemarau hampir 7 bulan, ladang yang kami lawati itu diterbangi debu-debu tanah gambut. Keadaan itu sedikit menyesakkan tetapi sedikitpun tidak menghalang kami untuk menikmati sepuas-puasnya kurniaan Tuhan yang mendampari tanah itu.
Pengunjung dibenarkan masuk dan makan sepuas-puasnya epal yang boleh dipetik sebebas-bebasnya. Di sinilah nafsu dan akal berperang di antara keinginan dan keperluan. Cukup 3 biji epal, perut saya sudah cukup kenyang.  
Pohon epal yang ada tidak terlalu tinggi, Buah-buahnya mudah dipetik dan dinikmati. Dikhabarkan bahawa sebaik dipetik epal itu boleh bertahan 6 bulan lamanya. Ada yang tidak puas menikmati epal di ladang itu mengambil keputusan untuk membawa balik dengan bayaran Rp 20.000.00 sekilogram.  
Terdapat dua jenis epal. Yang berbentuk bulat rasanya manis. Manakala yang berbentuk sedikit bujur rasanya masam-masam manis. Kebanyakannya adalah epal berkulit hijau di mana kebiasaan di Malaysia epal berwarna hijau adalah epal masam.  
Lawatan ini membuatkan hati ini terdetik memikirkan kebesaran Tuhan di mana dari air itu muncul kehidupan. Besarnya kebesaran Tuhan kerana hujan sudah tidak turun di sini hampir 7 bulan tetapi ladang ini masih subur dengan buah-buahan. Dari air yang tidak berwarna dan tidak berperasa itu pula tumbuah buah-buahan yang pelbagai rasa. Ada yang manis. Ada yang masam-masam manis. Ada juga pelbagai bentuk. Ada yang bulat. Ada yang bujur. Ada juga pelbagai warna. Ada warna merah. Ada yang hijau. Semua kebesaran ini tersembunyi di dalam salah satu ciptaan-Nya yang bersaiz kecil ini. Yang bisa dimamah-mamah dan dimanfaatkan segala khasiatnya. Allahuakbar! 
Barangkali, masih ada yang ingat kisah pemuda dan sebiji epal. Kebetulan, anak ini (Tengku Danial Afroze) melakonkan watak pemuda tersebut di dalam sebuah program di sekolah beberapa hari sebelum berangkat ke sini. Disebabkan kisah itu masih segar dalam ingatan, maka sahabat-sahabatnya lantas mengusik, "Enta kena cari siapa pemilik epal ini." Dia hanya tersenyum dengan usikan tersebut. Semoga ibrah kisah itu terus tertusuk di dalam ingatan mereka. 


Bersambung...

Tuesday, November 17, 2015

Road to KEMNAS 3: Episod 2 (Nasi Kotak)


Tubuh manusia sebagaimana musafir kami memerlukan bekalan tenaga yang mencukupi. Alhamdulillah, kami diperkenalkan dengan hidangan rutin saban hari di sini iaitu nasi kotak. Berbeza dengan hidangan di Malaysia, tiada kuah basah menjadi teman kebiasaan si nasi putih. Yang ada sambal, tempe dan keropok udang. Tiga menu ini menjadi teman setia si nasi putih di kala pagi, tengah hari dan juga malam. Manakala sayur dan juga bekalan daging bertukar-tukar menunya pada setiap sesi. 

Kisah nasi kotak ini akan saya ingati sentiasa. Memahat erti syukur dengan kemurahan rezeki yang melimpah ruah di bumi Tuhan di mana sahaja kita berada. Dalam masa yang sama juga menanam keinsafan pada diri bahawa kesusahan yang kita keluh-kesahkan sebenarnya tidak seberapa dengan apa yang dialami oleh orang lain.

Saban hari, di tapak perkhemahan, setiap kali selepas makan, ada saki-baki makanan yang dibuang-buang. Apabila ditanya kepada anak-anak yang membuang makanan tersebut, katanya, "Sudah kenyang, ", "Tidak ada selera." Ada yang cerewet tidak mahu makan tempe atau sayuran yang diberi. Luluh hati ini melihat saki-baki makanan itu terbuang, Bukan sedikit. Banyak. Malah ada yang membuang nasi yang tidak disentuh langsung. 

Pepatah Barat ada mengatakan, "One's lost is another's gain." Setiap hari itu juga, di balik timbunan nasi-nasi yang dibazirkan, ada seorang wanita bersama dua orang anaknya, mengorek-ngorek baki nasi itu. Kemudian, dikumpul-kumpul. Terdengar ngomelannya, "Sayang pak dibuang, Masih bisa dimakan nih."

Aduhai. Betapa senangnya hidup kita. Terkenang-kenang butiran nasi yang bertaburan di lantai kantin sekolah setiap kali selesai makan tengah hari. Teringat-ingat bungkusan-bungkusan hitam yang dikumpul pekerja kantin dan dibuang begitu sahaja. 

"Nasinya.. dibuang-buang," keluh pekerja kantin itu yang kebetulan berasal dari Indonesia. 

Apa yang saya mampu lakukan pada waktu itu adalah sentiasa mengingatkan diri dan anak-anak supaya menghabiskan makanan yang diberi. Saya ungkit kisah wanita tersebut. Saya ajak mereka saksikan sendiri bagaimana ibu tadi mengorek saki-baki nasi bersama-sama anak-anaknya. 

Ada yang dengar. Ada yang tidak. Wallahua'lam.

Bersambung...

Catatan:- Jurnal ini tidak ditulis berdasarkan kronologi tetapi berdasarkan tema.

Monday, November 16, 2015

Road To KEMNAS 3: Episod 1 (Sejarah)


31/10/2015 (Sabtu)- Hari ini mencatatkan sejarah tersendiri buat diri saya. Buat pertama kali, saya diizin Tuhan untuk menjejakkan kaki ke bumi Indonesia. Alhamdulillah. Pihak pengurusan sekolah telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi guru pengiring kepada anak-anak Sekolah Rendah Sri Al Amin Bangi seramai 11 orang (6 lelaki, 5 perempuan) sebagai duta Malaysia ke Kemah Nasional Ke 3 yang bakal berlangsung di Coban Rondo, Malang.

Saya memulakan perjalanan jauh penuh bersejarah itu seawal jam 3.45 pagi. Melangkah keluar dari rumah disaksikan Ummi, isteri dan juga anak saya yang kedua. Anak sulong saya pula telah terlena diulit mimpi dan saya hanya sempat meninggalkan ciuman di pipinya sebagai pesan selamat tinggal. Tidak dapat saya bayangkan apa pula persoalan darinya yang terpaksa dilayan oleh isteri saya esok pagi dan hari-hari seterusnya.

Kontinjen KRS Musleh berkumpul di KLIA 2 sebelum bertolak ke Surabaya. Terdapat 3 perjalanan yang telah ditempah bagi menampung perjalanan kontinjen yang berjumlah mencecah 300 orang. Rombongan Sekolah Rendah Sri Al Amin Bangi ditempatkan di dalam perjalanan pertama. 

Awal perjalanan itu menyaksikan mujahadah para sekretariat KRS Musleh yang telah bangkit seawal jam 3.00 pagi dan bersedia di lapangan terbang bagi menguruskan rombongan. Kelihatan mereka sudah biasa dengan keadaan itu. Tidak kelihatan pada riak wajah mereka keletihan dan juga rasa mengantuk. Bahkan mereka segak bergaya dengan uniform nombor 3 yang dilitupi windbreaker rasmi rombongan KRS Musleh ke Coban Rondo.

Dipendekkan cerita, apabila sampai ke bumi Surabaya setelah lebih kurang 3 jam penerbangan, musafir kami diteruskan dengan menaiki bas ke tempat penginapan sementara kami yang pertama yang mengambil masa hampir 4 jam. Jalan-jalan di sini berbeza dengan Malaysia. Lebih sempit. Lebih sesak. 

Saya terlelap di separuh pertama perjalanan. Saat mencelikkan mata, saya melihat sesuatu yang amat ironis. Bangunan di kawasan Malang ini dibina rapat-rapat di tepi-tepi jalan. Ada bangunan yang usang. Ada bangunan yang cantik. Ada yang mewah, ada yang uzur terbina sebelah-menyebelah. Rumah-rumah ibadat juga dibina hampir berdekatan antara satu sama lain. Hal ini membuatkan saya tertanya, "Beginikan interpretasi pancasila yang sebenarnya?"

Saya terus mengagumi pemandangan yang saya lihat sepanjang perjalanan. Cuma sesekali keletihan membuatkan mata saya tertutup dan terlena. Sehinggalah kami sampai ke destinasi yang pertama. Bima Sakti. 

Sebaik turun dari bas, angin dingin pergunungan mulai menerpa. Udara itu disedut dalam-dalam. Amat segar dan melapangkan dada. Hati saya mula melompat-lompat tertanya.Apakah yang menanti pada langkah seterusnya?

Bersambung...