Wednesday, June 17, 2009

Singapuraku


Dari pintu gril unit #09-3550 saya menatap ke luar. Pemandangan saya dihadang oleh barisan flat HDB yang tersusun atur sebagai kediaman warga Singapura. Betapa saya amat merindui pandangan melalui pintu rumah saya di Kajang, Selangor. Nampak pokok, nampak langit dan nampak lapang.

Tidak hairanlah masyarakat Singapura suka menghabiskan masa di luar rumah. Terkongkong di balik empat dinding terasa begitu menghimpit. Maka destinasi seperti East Coast Park (ECP)menjadi tempat menikmati kelapangan minda dan juga perasaan.

Saya pernah menjejak kaki ke ECP. Pertama kali menjejak kaki ke sana, saya teringat akan pantai Mengabang Telipot di Kuala Terengganu yg mana berdekatan dengan sekolah tempat saya belajar sewaktu di sekolah rendah. Bau air laut dan tiupan bayu begitu menggamit memori. Gemersik bunyi daun-daun kelapa bergesel bagai irama indah menjadi halwa telinga.

Cuma bezanya di sini, tiada kampung nelayan seperti Mengabang Telipot. Yang ada adalah deretan kedai-kedai makan sama ada segera atau tidak. Tidak kelihatan kapal-kapal nelayan berlabuh. Yang ada adalah kapal-kapal kargo nun jauh mahu singgah di Pelabuhan Keppel. Apabila melihat ke kiri dan kanan, barulah saya sedar betapa berbezanya dunia saya dahulu dengan dunia saya sekarang. Ibarat Pantai Mengabang Telipot dengan Pantai Hawaii!

No comments: