Tuesday, April 20, 2010

Jalan-Jalan Cari Masjid-Episod 2


Pada mulanya, saya mahu memasukkan entri ini seminggu selepas Episod 1 dimasukkan. Namun, atas permintaan seorang sahabat, saya mengubah perancangan tersebut dengan memasukkan entri itu pada hari ini. Saya ucapkan terima kasih kepadanya sekiranya dia membaca entri ini kerana kalau tidak kerana permintaan tersebut, saya mungkin merasa bahawa apa yang saya tulis ini cuma syok sendiri.

Untuk episod kali ini, saya akan membawa anda ke sebelah timur Singapura. Kalau episod pertama dahulu, stesen MRT yang paling berdekatan adalah Bugis, maka apa yang anda perlu lakukan untuk ke destinasi seterusnya adalah menaiki MRT dari Bugis terus ke Tampines. Masjid tersebut terletak tidak jauh dari stesen tersebut. Naik bas pun boleh tetapi saya lebih gemar berjalan kaki. Sebabnya, masa yang diambil untuk berjalan kaki tidak sampai 10 minit. Kalau naik bas, kena tunggu lagi. Kena bayar tambang lagi. Tak berbaloi untuk dikorbankan hanya untuk perjalanan yang sejauh satu perhentian bas sahaja.

Eksterior masjid ini diwarnakan biru sebiru air laut di East Coast Park. Diberi nama Darul Ghufran ataupun dalam Bahasa Arab yang bermaksud Taman Keampunan, masjid ini merupakan tempat kegemaran saya sewaktu hari tidak bekerja.

Dari segi kedudukan, masjid ini merupakan yang paling strategik yang pernah saya jumpa di Singapura ini. Masjid ini terletak di dalam kawasan tumpuan ramai. Sekiranya anda turun dari MRT untuk ke masjid ini, anda akan mendapati bahawa terdapat 3 pusat membeli-belah di sekeliling stesen tersebut; Tampines One, Tampines Mall dan Century Square. Jadi, bolehlah anda menunaikan segala kemahuan dan keperluan anda di sana.

Di sebelah masjid itu pula terdapat pusat aktiviti sukan. Ada stadium, ada kompleks renang, ada gelanggang street soccer, ada gymnasium. Jadi, bagi yang gemarkan aktiviti-aktiviti sedemikian, maka amat mudahlah bagi mereka. Apabila azan sudah berkumandang, masjid pun dekat sahaja. Maka, berhentilah bola dari ditendang-tendang. Begitu juga yang sedang berenang-renang.

Kemudahan sudah ada, kenapa kufur dengan nikmat yang dikurnia? Jumpa lagi di dalam episod ketiga pula. Ke mana destinasi saya seterusnya? Rahsia…

No comments: