Friday, April 16, 2010

Jalan-Jalan Cari Masjid-Episod 1


Terletak di pinggir North Bridge Rd. Masjid Negara De Facto bagi negara Singapura. Masjid Sultan.

Tidak syak lagi, masjid ini adalah yang terbaik untuk dipaparkan di dalam episod pertama memandangkan berdasarkan kedudukan dan kepentingannya kepada masyarakat Singapura.

Saya tidak akan membincangkan masjid ini dari segi sejarah mahupun anatominya. Apa yang saya akan paparkan di sini adalah sesuatu yang lebih praktikal untuk kehidupan dan kemudahan kita sebagai masyarakat Muslim, khususnya yang pertama kali berkunjung ke negara kota ini. Tambahan pula, faktor-faktor sejarah mahupun senibina masjid ini boleh didapati maklumatnya dengan mudah dan blog saya ini bukanlah salah satu daripada sumber tersebut.

Apa yang ingin saya katakan di sini adalah lokasi masjid ini dan sigfifikannya kepada kehidupan sehari-hari terutama sekali kepada musafir-musafir yang gemar berkelana.

Di sekeliling masjid itu kebanyakannya merupakan premis perniagaan. Hotel yang paling dekat adalah Golden Landmark Hotel yang hanya berada di seberang jalan sahaja. Sekiranya anda terasa lapar, di hadapan masjid itu terdapat sebuah restoran mamak yang agak terkenal. Anda boleh mencuba Murtabak Singapura di sana. Jika tidak, di sekeliling masjid itu bersepah-sepah kedai makan yang boleh menjadi pilihan anda.

Bagi yang gemarkan sejarah, masjid ini sendiri terkenal dengan sejarahnya yang tersendiri. Istana Kampong Glam pula hanya terletak di bahagaian belakang masjid ini.

Bagi yang gemar membeli-belah, seperti yang saya katakan tadi, di sekeliling masjid ini kebanyakannya adalah premis perniagaan. Jika anda lebih gemarkan tempat membeli-belah dengan hawa dingin, anda hanya cuma perlu berjalan kaki beberapa minit ke Bugis Junction ataupun Illuma. Kalau mahukan barang-barang murah ala-ala Petaling Street, di hadapan Bugis Junction, terletaknya Bugis Street yang menjual barang-barang sedemikian. Sudah tentunya anda boleh melanjutkan perjalanan beli-belah anda ke Sim Lim Square dan kawasan-kawasan sekelilingnya jika anda mahu.

Apa yang mahu saya katakan di sini adalah, kedudukan masjid ini yang cukup strategik di mana ia berada berdekatan dengan kawasan membeli-belah, tempat makan, tempat sejarah, hospital dan juga stesen MRT. Jadi, apa masalahnya untuk anda berhenti seketika di masjid tersebut untuk menunaikan solat yang tidak sampai 10 minit daripada masa anda setelah penat melancong ataupun melencong?

Kemudahan sudah ada. Kenapa kufur dengan nikmat yang dikurnia? Jumpa lagi di dalam Episod 2 pula!

No comments: