Thursday, March 15, 2012

Seekor chimpanzee bernama Bobo



Saya mulakan kisah ini dengan mukaddimah yang tipikal. Mukaddimah itu berbunyi begini... Pada suatu hari, di sebuah pulau, tinggal seekor chimpanzee bernama Bobo. Di atas pulau itu terdapat sebatang pokok kelapa yang amat tinggi menjulang. Tinggi pohon itu ibarat menara KLCC. Di hujung dahan pokok itu, terdapat beberapa biji buah kelapa muda yang sedang masak.

Pada suatu hari, Bobo merasa amat dahaga. Maka Bobo pun bercadang untuk minum air kelapa bagi menghilangkan dahaga tersebut. Dengan menggunakan kemahiran memanjat yang telah dikurniakan sejak azali lagi, Bobo berjaya memanjat sehingga ke puncak pohon kelapa itu di dalam masa tidak sampai seminit. Tatkala tangannya cuba menggapai salah satu buah kelapa yang sedang masak itu, maka Tuhan mengizinkan angin La Nina bertiup kencang menghempas pulau tersebut.

Bobo terhoyong-hayang di puncak pohon kelapa itu. Dia memeluk batang pokok itu serapat-rapatnya. Kemudian, datang pula taufan El Nino. Makin dahsyat goncangan yang terasa. Habis tercabut semua pelepah kelapa yang ada di puncak pohon tersebut. Namun, Bobo tetap istiqamah dan tidak melepaskan pelukannya yang erat itu. Lalu, diizinkan pula puting beliung bertiup melanda pulau kecil tersebut. Namun, makin ditiup, makin erat dakapan
Bobo pada pohon kelapa nan sebatang itu.

Akhirnya, angin tidak bertiup lagi. Bobo merasa lega kerana akhirmya dia dapat menikmati jus kelapa muda yang mengiurkan itu. Namun, baru sahaja hujung jarinya menyentuh sebiji kelapa yang tertinggal di puncak dahan tersebut, Tuhan mengizinkan sejenis lagi angin bertiup.

Kali ini, angin tidak lagi bertiup kencang. Sebaliknya angin itu bertiup sepoi-sepoi menyentuh ubun-ubunnya. Bobo merasa amat selesa. Perlahan-lahan genggamannya terlepas sedikit demi sedikit sehingga akhirnya Bobo tergelincir dan terus terjelepuk ke bawah.

Mujur Tuhan belum mengizinkan malaikat maut untuk mencabut nyawa Bobo. Bobo terus bernyawa tetapi Bobo terpaksa hidup tempang. Akhirnya, Bobo hanya mampu mendongak ke atas, air liurnya berjejeran mengharap seteguk jus kelapa muda untuk menghilangkan dahaganya.

No comments: