Thursday, March 15, 2012
Seekor chimpanzee bernama Bobo
Saya mulakan kisah ini dengan mukaddimah yang tipikal. Mukaddimah itu berbunyi begini... Pada suatu hari, di sebuah pulau, tinggal seekor chimpanzee bernama Bobo. Di atas pulau itu terdapat sebatang pokok kelapa yang amat tinggi menjulang. Tinggi pohon itu ibarat menara KLCC. Di hujung dahan pokok itu, terdapat beberapa biji buah kelapa muda yang sedang masak.
Pada suatu hari, Bobo merasa amat dahaga. Maka Bobo pun bercadang untuk minum air kelapa bagi menghilangkan dahaga tersebut. Dengan menggunakan kemahiran memanjat yang telah dikurniakan sejak azali lagi, Bobo berjaya memanjat sehingga ke puncak pohon kelapa itu di dalam masa tidak sampai seminit. Tatkala tangannya cuba menggapai salah satu buah kelapa yang sedang masak itu, maka Tuhan mengizinkan angin La Nina bertiup kencang menghempas pulau tersebut.
Bobo terhoyong-hayang di puncak pohon kelapa itu. Dia memeluk batang pokok itu serapat-rapatnya. Kemudian, datang pula taufan El Nino. Makin dahsyat goncangan yang terasa. Habis tercabut semua pelepah kelapa yang ada di puncak pohon tersebut. Namun, Bobo tetap istiqamah dan tidak melepaskan pelukannya yang erat itu. Lalu, diizinkan pula puting beliung bertiup melanda pulau kecil tersebut. Namun, makin ditiup, makin erat dakapan
Bobo pada pohon kelapa nan sebatang itu.
Akhirnya, angin tidak bertiup lagi. Bobo merasa lega kerana akhirmya dia dapat menikmati jus kelapa muda yang mengiurkan itu. Namun, baru sahaja hujung jarinya menyentuh sebiji kelapa yang tertinggal di puncak dahan tersebut, Tuhan mengizinkan sejenis lagi angin bertiup.
Kali ini, angin tidak lagi bertiup kencang. Sebaliknya angin itu bertiup sepoi-sepoi menyentuh ubun-ubunnya. Bobo merasa amat selesa. Perlahan-lahan genggamannya terlepas sedikit demi sedikit sehingga akhirnya Bobo tergelincir dan terus terjelepuk ke bawah.
Mujur Tuhan belum mengizinkan malaikat maut untuk mencabut nyawa Bobo. Bobo terus bernyawa tetapi Bobo terpaksa hidup tempang. Akhirnya, Bobo hanya mampu mendongak ke atas, air liurnya berjejeran mengharap seteguk jus kelapa muda untuk menghilangkan dahaganya.
Wednesday, March 14, 2012
Reviu: Rayyan Fantasi
Dengan tagline 'Apa yang terfikir itu ada', saya menjangkakan sebuah karya yang bisa mencabar minda daripada penulis ini. Mengikuti hasil tintanya sekian lama, karya-karya seperti Rahsia Perindu, Ungu Karmilla dan ADAM, mencetus fenomena karya thriller yang tidak membendung pemikiran pada sekadar jalan ceritanya.
Namun begitu, usai membaca Rayyan Fantasi, saya masih tercari-cari apa yang sebenarnya cuba disampaikan oleh penulis. Jalan ceritanya mudah. Tidak bersimpang-siur kecuali pada teknik imbas kembali yang dipergunakan. Cuma sesekali penulis mencabar minda dengan rahsia hitam di Jajahan Karuh.
'Apa yang terfikir itu ada' tidak tersampai dengan sepenuhnya. Seolah-olah ada sesuatu yang dibuat sambil lewa. Pembinaan karakter juga agak meleret-leret sehingga saya merasa mual dengan kisah cinta Feena dan Aiddin.
Kesimpulannya, saya berpendapat RAM cuba bereksperimen dengan karya berbentuk sains fiksyen. Mungkin ini bukan niche yang sesuai bagi RAM. Identitinya agak tenggelam dan tidak bersinar ibarat karya-karyanya sebelum ini. Sebagai 'self-proclaimed' novelis thriller no. 1 di Malaysia, saya berharap RAM dapat menghasilkan karya yang lebih bijak dan mendidik.
Tidaklah orang yang mengkritik ini lebih baik daripada yang dikritik. Wallahua'lam.
Friday, February 24, 2012
Pengumuman: Siri 'A Mu'allim and His Seasoned Car: Part 2'
Dimaklumkan bahawa siri A Mu'allim and His Seasoned Car: Part 2 sudah pun terbit. Para Pengembara DZAI boleh mengikuti sambungan kisah tersebut dengan klik di sini. Jangan lupa mengundi!
Sedang Dibaca: Rayyan Fantasi
Jenama Ramlee Awang Mursheed (RAM) sudah sebati di dalam diri peminat-peminat novel thriller seperti saya. Tidak perlu melihat kepada sinopsis jauh sekali reviu pembaca-pembaca, tangan ini pantas menggapai naskhah karya RAM setiap kali buku itu mulai singgah di rak-rak kedai buku.
Walau bagaimanapun, setelah lama mengikuti RAM, saya mula merasa jenama itu sahaja sudah tidak lagi mencukupi untuk memacu adrenalin saya setiap kali membaca karya beliau.
Rayyan Fantasi masih lagi dibaca. Setakat ini, tidak nampak lagi kelainan yang cuba ditonjolkan di dalam cerita ini. Hampir separuh buku ini dibaca, jari-jemari saya tidak pula pantas menyelak helaian-helaian tertera. Saya merasa lebih sabar untuk menghabiskan cerita ini berbanding dengan karya-karya RAM sebelum ini.
Mungkin pembacaan saya belum lagi sampai ke tahap fantasi saya dapat dijana dengan sepenuhnya. Apa-apa pun, saya akan terus membaca novel ini sehingga ke noktah terakhir. Mudah-mudahan ada manfaatnya.
Sunday, February 5, 2012
Pengumuman: Bersosial di dalam Bahasa Inggeris
Memandangkan semakin banyak entri di dalam blog ini yang ditulis di dalam Bahasa Inggeris, maka saya telah mewujudkan sebuah blog khusus menggunakan bahasa tersebut. Blog tersebut boleh dilawati dengan klik di sini.
Sebahagian entri berbahasa Inggeris yang ada di sini akan diposkan sekali lagi di dalam blog tersebut. Sementara itu blog ini akan lebih memfokus kepada dunia penulis, penulisan dan reviu buku.
Terima kasih kerana terus menyokong DZAI!
Sebahagian entri berbahasa Inggeris yang ada di sini akan diposkan sekali lagi di dalam blog tersebut. Sementara itu blog ini akan lebih memfokus kepada dunia penulis, penulisan dan reviu buku.
Terima kasih kerana terus menyokong DZAI!
Subscribe to:
Posts (Atom)