Sunday, March 13, 2011

Hari Sukan SRIAAB: Hari Pertama

"Weilawei..lawei,lawei,lawellok, olalek, o,ooo...". Pasukan Hijau memulakan sorakan,Merah, Biru dan Kuning menyusul dengan sorakan masing-masing. Hati yang lara sungguh terhibur melihat gelagat anak-anak itu.
Padang yang tadinya sunyi mulai bergempita dengan sorakan anak-anak. Masing-masing mahu menang. Masing-masing mahu menjadi juara.
Laungan semangat hanya sekadar mukaddimah kepada satu proses pentarbiyahan yang panjang. Generasi Insan Rabbani, itulah misinya. Insan Rabbani yang lahir melalui kekuatan jasmani.
Setelah berhempas-pulas dengan persiapan dan latihan selama dua minggu, hari ini mula menampakkan hasilnya. Acara yang dipertandingkan adalah sukaneka. Saya terkekek geli hati melihat kesungguhan anak-anak untuk memenangi acara. Wajah mereka mempamerkan suatu semangat yang mungkin sudah hilang di kalangan orang-orang dewasa.
Sudah menjadi adat permainan. Ada yang menang. Ada yang kalah. Cetusan emosi adalah akibat yang tidak dapat dielakkan. Tiada salahnya bergembira. Tiada salahnya merasa kecewa. Yang penting adalah cara kita mengawal emosi itu supaya tidak melarat kepada sesuatu yang memalukan dan mungkin memberi kesan yang buruk terhadap orang lain terutama kepada anak-anak yang sentiasa memerhatikan tindak-tanduk orang yang lebih tua.
Tamat hari pertama, pasukan Biru mendahului setelah memenangi banyak acara. Syukur alhamdulillah, hari pertama berlalu tanpa insiden yang tidak diingini. Mudah-mudahan hari-hari seterusnya juga begini jika tidak lebih baik.

No comments: