Penjara-penjara yang telahku letakkan hingga aku terlupa bagaimana membukanya. Lantas, aku berputus asa. Membiarkan diri terkurung selamanya.
Penjara-penjara itu aku letakkan untuk menyembunyikan diriku yang sebenar. Bukan aku mahu dilabel hipokrit tetapi diri yang seringkali menyakitkan hati orang-orang yang ada di sekelilingku itu harus dikurung. Aku tidak mahu menyakitkan hati orang. Aku tidak mahu menyusahkan orang. Lantas satu lapisan penjara dibina untuk mengurung diri tersebut. Semakin ramai manusia yang penting hadir di dalam hidupku, semakin bertambah lagi lapisan itu.
Aku cukup gembira dikelilingi orang-orang itu tetapi sesekali walau sesaat, hati itu meronta-ronta mahu keluar daripada lapisan penjara tersebut. Cukuplah memahami orang lain. Fahamilah pula diriku ini.
Namun, setiap kali aku cuba untuk melakukannya, setiap kali itu juga ada yang tidak dapat menerima. Kerana takut menyakiti, aku membiarkan diriku terus sakit. Biarlah mereka bahagia. Aku akan gembira apabila mereka bahagia. Itulah pujuk rayu yang sering aku lontarkan kepada hati yang meronta-ronta itu.
Namun, hati itu terus meronta-ronta. Barangkali aku telah terlupa bagaimana caranya untuk membuka penjara itu tetapi aku tidak pasti berapa lama penjara itu akan dapat bertahan. Hanya satu sahaja yang aku pasti. Andai dinding penjara itu pecah, aku pasti akan menyakitkan ramai orang.