Tuesday, July 20, 2010

Biasalah...

Apabila diri mulai selesa membuat kejahatan, bersedialah untuk menerima seksaan yang berat dari Tuhan. Beberapa hari yang lalu, Singapura dilanda banjir kilat. Dahulu, banjir bukanlah suatu perkara yang biasa berlaku di sini. Singapura mempunyai sistem perparitan yang boleh mengatasi masalah sebegitu sehingga seorang menteri meluahkan keyakinan bahawa kejadian sebegitu tidak akan berulang lagi sehingga 20 tahun akan datang.
17 Julai 2010... hujan lebat bermula sewal 4.40 pagi. Hari yang cukup malas untuk bekerja. Bantal dan tilam yang empuk memujuk dan menggoda supaya jangan meninggalkan mereka. Saya tidak boleh berbuat demikian. Ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan.
6.30 pagi... hujan masih lagi lebat. Saya mengeluarkan payung 7-11 berwarna merah untuk melindungi diri dari kesejukan air hujan yang menyengat. Seperti biasa saya mengambil bas yang sama untuk ke tempat kerja. Saya tidak mengesyaki apa-apa melainkan berpandangan bahawa hari ini adalah hari yang teramat malas untuk bekerja.
Jam 8 pagi... Hujan masih belum reda. Saya mendapat tahu bahawa beberapa kawasan di Singapura ditenggelami air separas lutut. Di sebahagian tempat, sehingga meneggelamkan kereta. Saya benar-benar terkejut. Sangka saya hanya K.L sahaja yang terdedah kepada bencana sebegini. Banjir kilat selama 30 minit itu bejaya menimbulkan huru-hara dan panik ke seluruh negara. Tiba-tiba saya teringatkan satu dialog Ahmad Nisfu di dalam filem Seniman Bujang Lapok, "Sekali jentik, bersepai semua tulang!"
Saya tertawa sendiri. Ini baru satu 'cubitan' kecil. Cubit-cubit sayang... Ada kuasa di atas sana yang mahu memberi peringatan. Sayanngnya, bila hilang lebam cubitan itu, manusia kembali lupa.
Sehari selepas kejadian, saya terdengar perbualan berikut.
"Apa yang awak buat di Phuket?" Tanya L.
"Enjoy... Tiap-tiap malam minum," jawab F.
"X.O..whiskey?" Tanya L lagi.
"X.O.. tapi rasanya kurang sedaplah..." F memberi komen. Kemudian menambah, "Orang Thailand suka minum beer."
"Memang pun," sampuk S. "Beer di sana murah. Lebih murah daripada minuman biasa."
Dan mereka pun terus larut di dalam perbualan berkisar tentang air kencing syaitan itu. Saya boleh faham kalau yang berbicara itu bukan dari kalangan Muslim. Tapi, di antara tiga orang yang berbual itu, dua daripadanya adalah Muslim dan mereka pula yang melebih-lebih bila bercakap seolah-olah minum itu adalah perkara biasa.
Apa nak jadi? Apa nak jadi? Takkan nak tunggu tsunami dan bah jadi perkara biasa di pulau yang sekangkang kera ini pula?

No comments: