Saturday, May 1, 2010

Jalan-Jalan Cari Masjid- Episod 3


Rahsia… Itulah perkataan yang dapat saya ungkapkan bagi episod kali ini. Namun begitu, sebenarnya tiada apa-apa yang rahsia mengenai masjid yang bakal saya paparkan. Masjid ini merupakan masjid yang mendapat pengiktirafan MUIS. Cuma, masjid ini mengingatkan saya dengan karya Dan Brown di dalam Angels & Demons, Da Vinci Code dan juga The Lost Symbol.

Waktu itu sudah masuk waktu Asar. Saya baru sahaja menghabiskan masa saya mencari ilham di sekitar muara Sungai Singapura untuk projek novel terbaru saya. Ilham sudah diperoleh, masanya untuk beralih. Namun, sebelum pulang ada baiknya saya menunaikan kewajipan terhadap-Nya terlebih dahulu. Manalah tahu… siapa tahu ada aral yang melintang? Mana tahu ada angin yang bertiup? Tidaklah nanti mati katak jadinya.

Maka, saya mengeluarkan peta yang sedia tersimpan di dalam beg galas saya. Orang Melayu kata, malu bertanya sesat jalan. Saya ini orang yang malu bertanya. Maka peta inilah harapan saya untuk tidak tersesat jalan.

Saya mencari masjid yang berdekatan di dalam peta itu.

“Ah, ada pun!” Saya tersenyum keriangan. Selepas ini, maka tidaklah menjadi masalah bagi saya untuk bersolat sekiranya tersangkut di kawasan ini.

Sungai Singapura direntasi meniti Jambatan Cavenagh. Bangunan Maybank menanti di seberang. Saya menelurusi tebing sehingga sampai di Bonham Street. Saya masuk ke dalam lorong itu sehingga sampai ke simpang yang mempertemukan lorong tersebut dengan Battery Road. Saya belok ke kanan. Battery Road di sebelah kiri saya sementara Bnagunan UOB di sebelah kanan.

Saya terus berjalan sambil mencari tanda-tanda kewujudan sebarang masjid. Mana bulan bintang? Mana kubah?

Sedang tanda-tanda biasa sebuah masjid itu dicari, saya menemui sebuah papan tanda. Papan tanda berlatar putih dengan bingkai berwarna biru. Bulan dan bintang berwarna hijau terkepung di dalam satu lagi bingkai simetrikal. Papan itu terpacang di pinggir jalan.

“Masjid Moulana Mohamed Ali.” Nama dan alamat masjid itu tercatat pada papan tanda itu.

Tanpa usul periksa terlebih dahulu, saya melewati papan tanda itu untuk mencari pintu masuk. Hampir lima minit saya terpinga-pinga mencari. Papan tandanya ada. Bangunannya mana? Pintu masuknya di mana?

Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk berpatah balik ke papan tanda tersebut. Astaga! Rupa-rupanya, laluan masuk ke dalam masjid itu terletak sebelum papan tanda itu. Jelas terpampang pada dinding laluan itu sebuah papan tanda berwarna hijau dengan simbol sebuah masjid dan tanda arah di bawahnya.

“Masjid bawah tanah?”

Seumur hidup saya saya tidak pernah berjumpa dengan sebuah masjid yang dibina di bawah tanah. Saya masuk ke dalam laluan itu dan ditemukan dengan seorang pengemis wanita. Saya hanya menyedekahkan senyuman saya pada wanita tersebut. Tangga yang terbina dituruni penuh hati-hati dan setelah beberapa anak tangga saya sampai juga ke dasarnya.

Oleh kerana masjid itu dibina di bawah tanah, maka penghawa dingin disediakan untuk mengelakkan ketidakselesaan para jemaah. Pengalaman masuk ke dalam masjid ini membuatkan saya terasa seperti Robert Langdon yang menelusuri terowong-terowong rahsia di Vatican City dan juga Washington D.C di dalam karya-karya Dan Brown yang saya sebutkan di atas tadi.

Masjid Moulana Mohamed Ali… Terbenamnya bulan dan bintang bukan di ufuk. Tenggelamnya di bumi di sisi punca hidup. Namun, dari yang terbenam itu terbitnya hati-hati yang bercahaya. Andai hati itu mengingati dan tidak terpesona dengan dunia yang ada di kelilingnya.

Bagi sesiapa yang gemar bersantai-santai di muara Sungai Singapura, (Esplanade, Merlion Park Boat Quay, Supreme Court, Parlimen dll) seandainya muazzin sudah memanggil, inilah masjid yang paling dekat dengan kalian.

Kemudahan sudah ada, kenapa kufur dengan nikmat yang dikurnia?

Jumpa lagi di dalam episod ke empat. Pembayangnya… dekat di hati.

2 comments:

nash said...

Kami sudah plan nak ke Masjid Sultan dan merayap d Singapura semalam (1 may), akan tetapi rancangan Allah mengatasi segalanya... :( Pelajaran kami: Untuk beli autopass, pastikan roadtax belum expired... :)

za_imad said...

Road tax expired? berapa lama tu? wah, mencanak le saman trafik kalo camtu.