Apabila bermain permainan Sudoku, kita akan menggunakan metode 'kebarangkalian' untuk mengisi petak-petak kosong yang tertinggal. Melalui metode ini kita akan mendapati bahawa semakin banyak nombor diisi, semakin kurang kebarangkalian nombor-nombor bagi satu-satu petak. Sebagai contoh, seandainya pada garis melintang Sudoku itu sudah diisi dengan nombor 1,2,4,5,6,7,8 dan 9, maka satu-satunya nombor yang tinggal adalah 3. Sebaliknya, jika pada garis melintang itu hanya ada satu nombor, katakanlah nombor 9, setiap petak kosong itu boleh diisi dengan nombor dari 1 hingga 8. Ini adalah satu andaian yang logikal. Prinsip yang mahu diketengahkan di sini adalah banyak petanda, kurang kebarangkalian. Kurang petanda, banyak kebarangkalian.
Aplikasi prinsip ini di dalam penulisan kreatif dapat dilihat di dalam mengawal 'kebebasan' sesuatu jalan cerita. Apa yang saya maksudkan dengan mengawal kebebasan jalan cerita di sini adalah adalah dengan adanya sinopsis, kita tidak akan mudah terbabas apabila mula menulis cerita. Dengan adanya maklumat kita akan dapat mengisi fakta bagi sesuatu cerita. Dengan banyaknya 'petanda' karya yang bakal kita hasilkan akan menjadi lebih faktual daripada fiksyen. Dengan kurangnya 'petanda', karya kita akan menjadi lebih fiksyen daripada faktual.
Segalanya bergantung kepada apa yang ingin ditulis oleh penulis dan sejauh mana penulis berani menanggung risiko daripada karya yang bakal dihasilkan.
Mahu mudah, ikutlah petanda,
Tiada petanda, carilah di mana,
Mahu bebas, fikirlah sendiri,
Jika terbabas, tanggunglah sendiri.
No comments:
Post a Comment