Monday, September 28, 2009

Mudahnya...

Di dalam era teknologi maklumat sekarang, kita tidak perlu lagi bersusah payah untuk menggerakkan tulang empat kerat kita untuk membayar bil, berhubung dengan insan tersayang, ke perpustakaan atau ke mana-mana... jaringan itu memang agak terhad memandangkan kita tidak boleh merasai sepoi-sepoi angin pantai hanya dengan melayar laman web berkenaan pantai Port Dickson di depan mata kita (Melainkan memang kita berada di Port Dickson sewaktu melayar laman web tersebut).
Kemudahan yang tersedia ini banyak memberi manfaat kepada saya di dalam mencari maklumat berkenaan peruntukan undang-undang di Singapura. Saya tidak perlu lagi bersusah-payah membelek buku-buku akta sebagaimana sewaktu di kampus dahulu. Hanya klik, klik dan klik. Apatah lagi kemudahan ini boleh dilayari secara percuma. ( http://statutes.agc.gov.sg/)
Barulah saya mengerti kenapa masayarakat di sini begitu taat dengan undang-undang... Ignorantia jure non excusat... Tiada lagi alasan!

Wednesday, September 16, 2009

Hobi Baru

Baru-baru ini saya telah menemui sesuatu untuk mengisi masa lapang saya; mengumpul keratan akhbar yang saya rasakan menarik untuk disimpan dan dibaca. Bagaimanapun, saya tidak sekadar memotong keratan-keratan akhbar tersebut dan menampalnya pada kertas A4 dan kemudian disusun di dalam fail.
Dengan keratan akhbar itu, saya telah memulakan Diari Kajian (Research Diary). Diari tersebut saya kepilkan bersama-sama keratan akhbar yang telah saya tampal pada kertas A4. Setakat ini, hanya akhbar The New Paper, Berita Harian dan The Straits Time yang menjadi mangsa gunting kontot saya. Tidak menghairankan apabila kebanyakan topik yang diambil adalah berkaitan dengan undang-undang.
Tujuan saya membuat diari ini adalah untuk memudahkan kajian saya pada masa akan datang. Manalah tahu, boleh diguna untuk projek penulisan seterusnya. Atau mungkin boleh dimanfaatkan apabila saya menempuh kerjaya saya nanti. Atau mungkin boleh saya gunakan sebagai bahan sekiranya saya memilih untuk menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana pula (Mungkin sampai phD..hmmm).
Sekurang-kurangnya, tidaklah otak saya ini beku sementara menunggu tamatnya khidmat negara saya nanti.

Cabaran SUDOKU_Kebarangkalian

Apabila bermain permainan Sudoku, kita akan menggunakan metode 'kebarangkalian' untuk mengisi petak-petak kosong yang tertinggal. Melalui metode ini kita akan mendapati bahawa semakin banyak nombor diisi, semakin kurang kebarangkalian nombor-nombor bagi satu-satu petak. Sebagai contoh, seandainya pada garis melintang Sudoku itu sudah diisi dengan nombor 1,2,4,5,6,7,8 dan 9, maka satu-satunya nombor yang tinggal adalah 3. Sebaliknya, jika pada garis melintang itu hanya ada satu nombor, katakanlah nombor 9, setiap petak kosong itu boleh diisi dengan nombor dari 1 hingga 8. Ini adalah satu andaian yang logikal. Prinsip yang mahu diketengahkan di sini adalah banyak petanda, kurang kebarangkalian. Kurang petanda, banyak kebarangkalian.
Aplikasi prinsip ini di dalam penulisan kreatif dapat dilihat di dalam mengawal 'kebebasan' sesuatu jalan cerita. Apa yang saya maksudkan dengan mengawal kebebasan jalan cerita di sini adalah adalah dengan adanya sinopsis, kita tidak akan mudah terbabas apabila mula menulis cerita. Dengan adanya maklumat kita akan dapat mengisi fakta bagi sesuatu cerita. Dengan banyaknya 'petanda' karya yang bakal kita hasilkan akan menjadi lebih faktual daripada fiksyen. Dengan kurangnya 'petanda', karya kita akan menjadi lebih fiksyen daripada faktual.
Segalanya bergantung kepada apa yang ingin ditulis oleh penulis dan sejauh mana penulis berani menanggung risiko daripada karya yang bakal dihasilkan.

Mahu mudah, ikutlah petanda,
Tiada petanda, carilah di mana,
Mahu bebas, fikirlah sendiri,
Jika terbabas, tanggunglah sendiri.