Wednesday, July 22, 2009

Kenapa Tak Boleh Makan Babi?


Seorang kawan bukan Muslim bertanya, “Kenapa Melayu tak boleh makan babi?”
Saya tercengang seketika. Salah seorang kawan saya menjawab, “Sebab di dalam babi itu ada sejenis kuman pembawa penyakit. Kuman itu tidak boleh dibersihkan. Sebab itu Melayu tak boleh makan babi.”
“Poin yang baik!” Kata saya di dalam hati.
Kemudian, kawan bukan Muslim itu bertanya lagi, “Jika begitulah halnya, kalau kita menemui cara untuk membuang kuman tersebut daripada babi, maka selepas ini Melayu bolehlah makan babi, begitu?”
Sekali lagi saya tercengang. Saya tidak mempunyai jawapan untuk itu. Yang saya tahu di dalam Quran memang jelas dinyatakan tentang pengharaman memakan babi. Tidak dijelaskan pula kenapa babi itu haram dimakan.
Setelah berfikir sejenak, hanya ini yang dapat saya katakan kepada kawan bukan Muslim tersebut, “Apa yang saudara cadangkan itu memang baik. Apa kata kita buat kajian tentang itu? Selepas itu barulah kita boleh tentukan sama ada babi itu baik untuk dimakan atau tidak.”
Kawan bukan Muslim itu mengangguk-angguk sambil berkata, “Fair enough…fair enough…”
Sebagai Muslim, kita melihat perkara dari sudut yang berbeza. Kita melihat dari atas ke bawah. Apa yang turun dari langit, kita turuti tanpa membantah. Dan ketaatan terhadap syariah ini bermula daripada aqidah yang kukuh terhadap Pencipta segala. Setelah itu barulah kita bertanya kenapa dan bagaimana. Atas asas inilah lahir di kalangan kita cendekiawan seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan Al-Khindi.
Manakala, sahabat bukan Muslim saya itu pula melihat dari sudut yang bertentangan. Dia melihat dari bawah ke atas. Persepsi saintifik. Dia percaya hanya setelah perkara itu diuji dan dibuktikan.
Betapa manusia ini Tuhan jadikan berbeza-beza supaya kita dapat melihat kebesaran-Nya.