Saturday, August 29, 2009

The Jigsaw

Pernah menonton filem Saw? Bagi yang pernah menonton filem itu pasti mengerti unsur-unsur sadis yang memenuhi jalan cerita filem tersebut.

Saya bukan hendak membicarakan tentang filem itu dengan terperinci. Cuma, saya terlintas untuk mengatakan sesuatu apabila saya mendapat gelaran baru oleh rakan-rakan di tempat saya dikerah untuk Khidmat Negara... The Jigsaw...

Saya tahu kenapa gelaran itu diberi kepada saya. Semuanya gara-gara parut jerawat yang ada di pipi saya. Saya tidak tahu apa tujuan mereka memberikan gelaran tersebut. Yang saya pasti gelaran itu telah memberi saya idea untuk projek penulisan terbaru saya... Projek Keraguan Munasabah...

Thursday, August 6, 2009

Terluka Kerana...

Fikiran saya mula mencipta pembayang-pembayang apabila melihat sesuatu. Semua itu saya taip ke dalam netbook saya. Manalah tahu, boleh digunakan untuk projek akan datang...

Wednesday, July 22, 2009

Kenapa Tak Boleh Makan Babi?


Seorang kawan bukan Muslim bertanya, “Kenapa Melayu tak boleh makan babi?”
Saya tercengang seketika. Salah seorang kawan saya menjawab, “Sebab di dalam babi itu ada sejenis kuman pembawa penyakit. Kuman itu tidak boleh dibersihkan. Sebab itu Melayu tak boleh makan babi.”
“Poin yang baik!” Kata saya di dalam hati.
Kemudian, kawan bukan Muslim itu bertanya lagi, “Jika begitulah halnya, kalau kita menemui cara untuk membuang kuman tersebut daripada babi, maka selepas ini Melayu bolehlah makan babi, begitu?”
Sekali lagi saya tercengang. Saya tidak mempunyai jawapan untuk itu. Yang saya tahu di dalam Quran memang jelas dinyatakan tentang pengharaman memakan babi. Tidak dijelaskan pula kenapa babi itu haram dimakan.
Setelah berfikir sejenak, hanya ini yang dapat saya katakan kepada kawan bukan Muslim tersebut, “Apa yang saudara cadangkan itu memang baik. Apa kata kita buat kajian tentang itu? Selepas itu barulah kita boleh tentukan sama ada babi itu baik untuk dimakan atau tidak.”
Kawan bukan Muslim itu mengangguk-angguk sambil berkata, “Fair enough…fair enough…”
Sebagai Muslim, kita melihat perkara dari sudut yang berbeza. Kita melihat dari atas ke bawah. Apa yang turun dari langit, kita turuti tanpa membantah. Dan ketaatan terhadap syariah ini bermula daripada aqidah yang kukuh terhadap Pencipta segala. Setelah itu barulah kita bertanya kenapa dan bagaimana. Atas asas inilah lahir di kalangan kita cendekiawan seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan Al-Khindi.
Manakala, sahabat bukan Muslim saya itu pula melihat dari sudut yang bertentangan. Dia melihat dari bawah ke atas. Persepsi saintifik. Dia percaya hanya setelah perkara itu diuji dan dibuktikan.
Betapa manusia ini Tuhan jadikan berbeza-beza supaya kita dapat melihat kebesaran-Nya.

Sunday, June 28, 2009

H1N1


Dunia digemparkan dengan suatu lagi virus. Suatu epidemik yang menimbulkan suasana yang panik di seluruh dunia. Daripada Mexico, sehingga kini, virus itu telah menular hampir ke semua benua. Virus ini telah menambah keperitan dengan kegawatan ekonomi global yang sedang melanda dan menunjukkan tanda pemulihan yang yang agak perlahan.

Daripada Virus Babi, nama virus tersebut ditukar kepada Virus Influenza A H1N1 demi menjaga sensitiviti sesetengah pihak. Namun, walau namanya ditukar, satu fakta tetap tidak boleh diubah iaitu penularan penyakit tersebut ke seluruh dunia. Lantas, manusia semakin panik. Pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang penularan penyakit tersebut. Jaga kebersihan, mewajibkan pemeriksaan suhu badan setiap hari dan terbaru penciptaan vaksin menentang penyakit tersebut.

Tidak dinafikan, manusia punyai kuasa bernama ikhtiar untuk menghalang penyakit ini. Namun, semua ikhtiar itu tidak bermakna tanpa satu ‘tangan ghaib’ yang mengesahkan ikhtiar tersebut. ‘Tangan Ghaib’ itu cuba mengulangi peringatan yang telah dicanang beberapa kali di antaranya ketika Bani Israel diserang penyakit berjangkit kerana menidakkan ajaran Musa A.S.

Andai kita mampu merenung, akan kita lihat bahawa Tangan Ghaib itu mengulangi pernyataannya di dalam kejadian yang berlaku ini, HANYA 1 NOMBOR 1 (H1N1)! Firman-Nya di dalam Surah Al-Ikhlas:

“Katakanlah (Muhammad, “Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia.””

Sahabat Nabi S.A.W, Bilal R.A begitu tegar dengan kalimah pengesaan walaupun diseksa oleh tuannya. Lidahnya menutur, “Ahad, Ahad, Ahad.” Tubuhnya sudah lemah dihempap batu di tengah panas yang terik. Namun, sedikitpun tidak melenturkan keimanannya terhadap HANYA 1 NOMBOR 1.

Di mana pula kedudukan kita? Ekonomi gawat, salahkan George Soros. Penyakit datang, salahkan babi. Tanpa menafikan bahawa setiap sesuatu ada sebab dan musababnya, kita juga sebenarnya bersalah. Kita lupa bahawa di sana ada HANYA 1 NOMBOR 1.


Ingat, Ingat itu Remember...


Ingat, Ingat itu Remember,
Jangan Lupa itu Don’t Forget
Saya Sayang itu I Love You
Hanya Engkau, Only You

Bait-bait ini pernah saya nyanyikan sewaktu di sekolah rendah dahulu. Liriknya mudah tetapi mempunyai makna yang amat mendalam andai diperhatikan dengan minda yang sentiasa berfikir.

Di dalam Surah Az-Zaariyaat:55 orang-orang yang beriman telah diamanatkan untuk saling ingat-memperingati. Ayat tersebut, dengan mafhumnya, “Maka berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.”

Ingat,Ingat itu Remember… Manusia itu fitrahnya kadang-kadang terlupa. Kita punyai kuasa yang terhad. Ungkapan seperti ‘Melayu Mudah Lupa’ membayangkan pengakuan pengungkapnya bahawa lupa adalah satu sifat yang sentiasa mengejar untuk menghuni di dalam minda manusia. Oleh yang demikian, ingat-mengingat ini perlu supaya manusia ‘Jangan Lupa’ atau ‘Don’t Forget.’

Bukan itu sahaja, kesan daripada budaya ingat-mengingati ini, akan terbitlah kasih-sayang. Tiada orang yang mengingatkan untuk mudarat. Biasanya untuk manfaat. Andai diperingatkan, usahlah dianggap kerana orang itu membenci. Sebenarnya orang itu amat menyayangi. Berapa kali kita pernah mendengar kata-kata seperti, “Aku ingatkan kau ni sebab aku ambil berat pada kau.,” atau “Ayah marahkan kamu sebab ayah sayangkan kamu,” atau “Kalau aku tak sayangkan kau, aku biarkan sahaja kau buat benda-benda tak berfaedah tu.”

INGAT, dan JANGAN LUPA kerana SAYA SAYANG HANYA ENGKAU!

Tuesday, June 23, 2009

Di Rumah Kekasih


Kekasih...atau mata air sebagaimana digelar oleh rakyat Singapura bagi menggambarkan si dia yang tersayang. Sehairi tidak bertemu, hati sudah resah. Sehari tidak mendengar suaranya, diri mulai gelisah. Bagaimanapun, saya bukan mahu bercakap tentang 'kekasih' itu.


Semenjak berada di sini, kadang-kadang saya menghadapi masalah untuk menghadiri 'date' bersama Kekasih yang telah dijadualkan semenjak 1500 tahun dahulu. Saya cuba menyalahkan sistem yang ada di sini yang kurang memahami keperluan rohani seorang muslim. Namun, semakin banyak saya cuba menuding jari ke arah yang lain, saya tetap tidak dapat menafikan segala-galanya bermula dengan keberanian kita untuk menyuarakan hak kita sebagai seorang muslim.


Di Rumah Kekasih, saya muhasabah diri. Di mana keberanian Saidina Umar R.A tatkala menyuarakan keimanannya di khalayak penduduk Mekah? Di mana keberanian Saidina Abu Bakar yang membenarkan setiap kata-kata Muhammad S.A.W tatkala yang lain-lain berpandangan sinis terhadap kebenaran tersebut? Mengapa keberanian itu tiada pada saya? Bukannya saya mahu menggunakan keberanian itu untuk memudaratkan orang lain. Saya cuma perlukan keberanian itu untuk membawa manfaat kepada diri saya dan seterusnya jika diizin Tuhan kepada orang lain.


Di Rumah Kekasih, aku mencari jawapan. Di Rumah Kekasih, saya menunggu jawapan...

Wednesday, June 17, 2009

Singapuraku


Dari pintu gril unit #09-3550 saya menatap ke luar. Pemandangan saya dihadang oleh barisan flat HDB yang tersusun atur sebagai kediaman warga Singapura. Betapa saya amat merindui pandangan melalui pintu rumah saya di Kajang, Selangor. Nampak pokok, nampak langit dan nampak lapang.

Tidak hairanlah masyarakat Singapura suka menghabiskan masa di luar rumah. Terkongkong di balik empat dinding terasa begitu menghimpit. Maka destinasi seperti East Coast Park (ECP)menjadi tempat menikmati kelapangan minda dan juga perasaan.

Saya pernah menjejak kaki ke ECP. Pertama kali menjejak kaki ke sana, saya teringat akan pantai Mengabang Telipot di Kuala Terengganu yg mana berdekatan dengan sekolah tempat saya belajar sewaktu di sekolah rendah. Bau air laut dan tiupan bayu begitu menggamit memori. Gemersik bunyi daun-daun kelapa bergesel bagai irama indah menjadi halwa telinga.

Cuma bezanya di sini, tiada kampung nelayan seperti Mengabang Telipot. Yang ada adalah deretan kedai-kedai makan sama ada segera atau tidak. Tidak kelihatan kapal-kapal nelayan berlabuh. Yang ada adalah kapal-kapal kargo nun jauh mahu singgah di Pelabuhan Keppel. Apabila melihat ke kiri dan kanan, barulah saya sedar betapa berbezanya dunia saya dahulu dengan dunia saya sekarang. Ibarat Pantai Mengabang Telipot dengan Pantai Hawaii!