Sunday, June 28, 2009

H1N1


Dunia digemparkan dengan suatu lagi virus. Suatu epidemik yang menimbulkan suasana yang panik di seluruh dunia. Daripada Mexico, sehingga kini, virus itu telah menular hampir ke semua benua. Virus ini telah menambah keperitan dengan kegawatan ekonomi global yang sedang melanda dan menunjukkan tanda pemulihan yang yang agak perlahan.

Daripada Virus Babi, nama virus tersebut ditukar kepada Virus Influenza A H1N1 demi menjaga sensitiviti sesetengah pihak. Namun, walau namanya ditukar, satu fakta tetap tidak boleh diubah iaitu penularan penyakit tersebut ke seluruh dunia. Lantas, manusia semakin panik. Pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang penularan penyakit tersebut. Jaga kebersihan, mewajibkan pemeriksaan suhu badan setiap hari dan terbaru penciptaan vaksin menentang penyakit tersebut.

Tidak dinafikan, manusia punyai kuasa bernama ikhtiar untuk menghalang penyakit ini. Namun, semua ikhtiar itu tidak bermakna tanpa satu ‘tangan ghaib’ yang mengesahkan ikhtiar tersebut. ‘Tangan Ghaib’ itu cuba mengulangi peringatan yang telah dicanang beberapa kali di antaranya ketika Bani Israel diserang penyakit berjangkit kerana menidakkan ajaran Musa A.S.

Andai kita mampu merenung, akan kita lihat bahawa Tangan Ghaib itu mengulangi pernyataannya di dalam kejadian yang berlaku ini, HANYA 1 NOMBOR 1 (H1N1)! Firman-Nya di dalam Surah Al-Ikhlas:

“Katakanlah (Muhammad, “Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia.””

Sahabat Nabi S.A.W, Bilal R.A begitu tegar dengan kalimah pengesaan walaupun diseksa oleh tuannya. Lidahnya menutur, “Ahad, Ahad, Ahad.” Tubuhnya sudah lemah dihempap batu di tengah panas yang terik. Namun, sedikitpun tidak melenturkan keimanannya terhadap HANYA 1 NOMBOR 1.

Di mana pula kedudukan kita? Ekonomi gawat, salahkan George Soros. Penyakit datang, salahkan babi. Tanpa menafikan bahawa setiap sesuatu ada sebab dan musababnya, kita juga sebenarnya bersalah. Kita lupa bahawa di sana ada HANYA 1 NOMBOR 1.


No comments: