Tuesday, November 17, 2015

Road to KEMNAS 3: Episod 2 (Nasi Kotak)


Tubuh manusia sebagaimana musafir kami memerlukan bekalan tenaga yang mencukupi. Alhamdulillah, kami diperkenalkan dengan hidangan rutin saban hari di sini iaitu nasi kotak. Berbeza dengan hidangan di Malaysia, tiada kuah basah menjadi teman kebiasaan si nasi putih. Yang ada sambal, tempe dan keropok udang. Tiga menu ini menjadi teman setia si nasi putih di kala pagi, tengah hari dan juga malam. Manakala sayur dan juga bekalan daging bertukar-tukar menunya pada setiap sesi. 

Kisah nasi kotak ini akan saya ingati sentiasa. Memahat erti syukur dengan kemurahan rezeki yang melimpah ruah di bumi Tuhan di mana sahaja kita berada. Dalam masa yang sama juga menanam keinsafan pada diri bahawa kesusahan yang kita keluh-kesahkan sebenarnya tidak seberapa dengan apa yang dialami oleh orang lain.

Saban hari, di tapak perkhemahan, setiap kali selepas makan, ada saki-baki makanan yang dibuang-buang. Apabila ditanya kepada anak-anak yang membuang makanan tersebut, katanya, "Sudah kenyang, ", "Tidak ada selera." Ada yang cerewet tidak mahu makan tempe atau sayuran yang diberi. Luluh hati ini melihat saki-baki makanan itu terbuang, Bukan sedikit. Banyak. Malah ada yang membuang nasi yang tidak disentuh langsung. 

Pepatah Barat ada mengatakan, "One's lost is another's gain." Setiap hari itu juga, di balik timbunan nasi-nasi yang dibazirkan, ada seorang wanita bersama dua orang anaknya, mengorek-ngorek baki nasi itu. Kemudian, dikumpul-kumpul. Terdengar ngomelannya, "Sayang pak dibuang, Masih bisa dimakan nih."

Aduhai. Betapa senangnya hidup kita. Terkenang-kenang butiran nasi yang bertaburan di lantai kantin sekolah setiap kali selesai makan tengah hari. Teringat-ingat bungkusan-bungkusan hitam yang dikumpul pekerja kantin dan dibuang begitu sahaja. 

"Nasinya.. dibuang-buang," keluh pekerja kantin itu yang kebetulan berasal dari Indonesia. 

Apa yang saya mampu lakukan pada waktu itu adalah sentiasa mengingatkan diri dan anak-anak supaya menghabiskan makanan yang diberi. Saya ungkit kisah wanita tersebut. Saya ajak mereka saksikan sendiri bagaimana ibu tadi mengorek saki-baki nasi bersama-sama anak-anaknya. 

Ada yang dengar. Ada yang tidak. Wallahua'lam.

Bersambung...

Catatan:- Jurnal ini tidak ditulis berdasarkan kronologi tetapi berdasarkan tema.

No comments: