Sunday, March 13, 2011

Hari Sukan SRIAAB: Hari Pertama

"Weilawei..lawei,lawei,lawellok, olalek, o,ooo...". Pasukan Hijau memulakan sorakan,Merah, Biru dan Kuning menyusul dengan sorakan masing-masing. Hati yang lara sungguh terhibur melihat gelagat anak-anak itu.
Padang yang tadinya sunyi mulai bergempita dengan sorakan anak-anak. Masing-masing mahu menang. Masing-masing mahu menjadi juara.
Laungan semangat hanya sekadar mukaddimah kepada satu proses pentarbiyahan yang panjang. Generasi Insan Rabbani, itulah misinya. Insan Rabbani yang lahir melalui kekuatan jasmani.
Setelah berhempas-pulas dengan persiapan dan latihan selama dua minggu, hari ini mula menampakkan hasilnya. Acara yang dipertandingkan adalah sukaneka. Saya terkekek geli hati melihat kesungguhan anak-anak untuk memenangi acara. Wajah mereka mempamerkan suatu semangat yang mungkin sudah hilang di kalangan orang-orang dewasa.
Sudah menjadi adat permainan. Ada yang menang. Ada yang kalah. Cetusan emosi adalah akibat yang tidak dapat dielakkan. Tiada salahnya bergembira. Tiada salahnya merasa kecewa. Yang penting adalah cara kita mengawal emosi itu supaya tidak melarat kepada sesuatu yang memalukan dan mungkin memberi kesan yang buruk terhadap orang lain terutama kepada anak-anak yang sentiasa memerhatikan tindak-tanduk orang yang lebih tua.
Tamat hari pertama, pasukan Biru mendahului setelah memenangi banyak acara. Syukur alhamdulillah, hari pertama berlalu tanpa insiden yang tidak diingini. Mudah-mudahan hari-hari seterusnya juga begini jika tidak lebih baik.

Pengumuman!

Atas sebab-sebab tertentu, kisah di USS terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. Diharap kepada sesiapa yang menanti sambungan kisah tersebut agar sabar menanti.

Wednesday, March 2, 2011

Universal Studios Singapura: Fana

Pengalaman di USS mengajar saya tentang sesuatu: Jiwa tidak boleh dibiarkan kosong. Ada sesuatu yang sentiasa mengisinya. Sama ada baik ataupun buruk. Apa yang mengisi jiwa itulah yang akan membentuk manusia keseluruhannya.

USS mengajar saya tentang kekosongan tersebut. Jiwa yang memerlukan sesuatu tetapi di dalam tidak sedar, masing-masing masih bingung. Lalu, apa yang terhidang di hadapan mata itulah yang mengisi kekosongan tersebut. Hiburan.

Tiada salahnya berhibur kerana sesekali jiwa yang lelah memerlukan istirehat untuk mengembalikan sinergi. Saya tidak menafikan bahawa pengalaman di USS adalah sesuatu yang tidak mampu dilupakan. Sebuah cerita indah yang mampu mengepam pantas adrenalin saya apabila dikongsi bersama. Namun, di sebalik semua senyuman yang terlihat, 'kekosongan' itu ternyata belum terisi dengan sebetulnya.
Entah sampai bila USS ini dapat mengisi kekosongan tersebut. Apabila hilang manisnya, apa pula peranannya selepas ini?
Hati yang dahagakan hiburan, akan sentiasa dahaga. Apabila diisi, hati itu akan basah sementara. Kebasahan itu cepat pula tersejat. Lantas, hati itu menjadi kering dan mati sebelum hancur berderai menjadi cebisan debu yang berterbangan tanpa arah.
Mati hati, matilah manusiawi. Sesungguhnya Dia lebih mengetahui.

Friday, January 28, 2011

Universal Studios Singapura: New York City!

Klik.. klik.. Bang! Bang! Akhirnya pengembaraan saya yang sebenar pun bermula. Saya berada di New York! Hampir-hampir sebenarnya. Jalan yang diselusuri itu sedaya-upaya dicipta menyerupai kota metropolitan tersebut. Suasana retro cuba dihidupkan dengan muzik dan barisan pelakon-pelakon yang menghuni jalanan. Hampir-hampir saya merasakan yang saya berada di kota itu kalau tidak kerana cuaca yang membakar epidermis. Panas, sungguh panas. Cuaca terlalu terik sehingga mata saya hampir terpejam menahan silau mentari.
Bagaimanapun, mood untuk menyaksikan apa yang bakal terhidang di sini semakin membuak-buak. Adakah mana-mana bangunan di sini boleh dimasuki untuk melindungi diri daripadan sinaran yang boleh menyebabkan kanser?

Tuesday, January 4, 2011

Universal Studios Singapura: Senasib

Pertemuan itu langsung tidak dirancang. Sewaktu saya sedang terkontang-kanting di tengah lautan manusia itu, saya tiba-tiba terserempak dengan mereka mereka berdua. Salah seorang daripada mereka dengan kamera yang serba canggih meminta saya untuk mengambil gambar. Saya menurut permintaan itu dan setelah itu kami semua seolah-olah berjalan di dalam satu garisan yang sama.
Sedang saya mengingati nama Latif, nama seorang lagi kurang melekat di dalam kotak ingatan saya. Bagaimanapun, saya tetap ingat akan perbualan panjang yang terbit daripada mulutnya. Dia seorang yang begitu tertarik dengan Wing Chun dan juga spesis-spesis dinosor.
Tidak banyak keserasian di antara kami sebenarnya. Kami cuma ditakdirkan berada di tempat yang sama dengan nasib yang sama. Sedang yang lain-lain menikmati keseronokan bersama-sama di taman tema itu bersama-sama keluarga, kami bertiga hidup sebatang kara.

Monday, January 3, 2011

Universal Studios Singapura: Teruja!

Kembali menyambung cerita di USS. Sejurus tiba, saya tidak tahu hendak menuju ke mana. Tomoji yang bersama-sama saya di dalam bas sudah pun memberitahu ada seseorang yang menantinya di pintu masuk nanti. Melihat kepada ekspresinya, saya dapat rasakan bahawa orang itu adalah orang yang istimewa.
Rasa sesal menyelubungi kerana tidak mendapatkan tiket kedua supaya sekurang-kurangnya saya dapat membawa teman. Tidaklah saya terkontang-kanting seorang diri di situ.
Mujur saya bertemu dengan seorang lagi sahabat, SYJ. Dengan rasa simpati dia mengajak saya menyertainya dan juga abangnya masuk ke USS. Saya berasa agak canggung tetapi saya pasti lebih canggung andainya saya keseorangan.
Pintu pagar elektronik yang menghalang saya daripada terus meneroka akhirnya terbuka dengan memasukkan tiket yang telah diberi. Hati saya berdebar-debar. Sebuah dunia yang lain terbentang di hadapan mata.
Saya benar-benar teruja.

Sunday, December 12, 2010

Universal Studios Singapura: Langkah Bermula

Kesabaran menanti akhirnya memberi pulangan yang dikehendaki. Walaupun tidak berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah yang diadakan, saya tetap berpuas hati setelah mendapat tiket yang diidam-idam. Sayangnya, seorang rakan tidak dapat turut serta kerana terikat dengan komitmen lain. Saya benar-benar berharap dapat berkongsi saat-saat sebegini bersama seramai mana kenalan yang boleh. Memori yang mahu saya simpan sebelum kelak berpisah.

Saya menaiki bas rombongan bersama-sama seorang lagi rakan Tomoji Fujiyama (Bukan nama sebenar). Bas itu dipenuhi dengan penumpang-penumpang dari tempat yang sama. Sayangnya masing-masing seolah-olah membawa hal masing-masing. Ada yang datang bersama-sama keluarga. Ada yang datang bersama-sama pasangan masing-masing. Dan saya tersangkut bersama-sama rakan saya yang seorang ini. Saya tahu saya tidak akan tersangkut lama bersama-samanya kerana dia juga ada 'seseorang' yang menanti di destinasi nanti.

Bas tersebut meluncur dengan kelajuan yang ditetapkan mengikut arus lalulintas. Di dalam perjalanan yang singkat itu, saya cuba merancang apa yang perlu saya lakukan apabila tiba di sana nanti.