Tuesday, June 23, 2009

Di Rumah Kekasih


Kekasih...atau mata air sebagaimana digelar oleh rakyat Singapura bagi menggambarkan si dia yang tersayang. Sehairi tidak bertemu, hati sudah resah. Sehari tidak mendengar suaranya, diri mulai gelisah. Bagaimanapun, saya bukan mahu bercakap tentang 'kekasih' itu.


Semenjak berada di sini, kadang-kadang saya menghadapi masalah untuk menghadiri 'date' bersama Kekasih yang telah dijadualkan semenjak 1500 tahun dahulu. Saya cuba menyalahkan sistem yang ada di sini yang kurang memahami keperluan rohani seorang muslim. Namun, semakin banyak saya cuba menuding jari ke arah yang lain, saya tetap tidak dapat menafikan segala-galanya bermula dengan keberanian kita untuk menyuarakan hak kita sebagai seorang muslim.


Di Rumah Kekasih, saya muhasabah diri. Di mana keberanian Saidina Umar R.A tatkala menyuarakan keimanannya di khalayak penduduk Mekah? Di mana keberanian Saidina Abu Bakar yang membenarkan setiap kata-kata Muhammad S.A.W tatkala yang lain-lain berpandangan sinis terhadap kebenaran tersebut? Mengapa keberanian itu tiada pada saya? Bukannya saya mahu menggunakan keberanian itu untuk memudaratkan orang lain. Saya cuma perlukan keberanian itu untuk membawa manfaat kepada diri saya dan seterusnya jika diizin Tuhan kepada orang lain.


Di Rumah Kekasih, aku mencari jawapan. Di Rumah Kekasih, saya menunggu jawapan...

Wednesday, June 17, 2009

Singapuraku


Dari pintu gril unit #09-3550 saya menatap ke luar. Pemandangan saya dihadang oleh barisan flat HDB yang tersusun atur sebagai kediaman warga Singapura. Betapa saya amat merindui pandangan melalui pintu rumah saya di Kajang, Selangor. Nampak pokok, nampak langit dan nampak lapang.

Tidak hairanlah masyarakat Singapura suka menghabiskan masa di luar rumah. Terkongkong di balik empat dinding terasa begitu menghimpit. Maka destinasi seperti East Coast Park (ECP)menjadi tempat menikmati kelapangan minda dan juga perasaan.

Saya pernah menjejak kaki ke ECP. Pertama kali menjejak kaki ke sana, saya teringat akan pantai Mengabang Telipot di Kuala Terengganu yg mana berdekatan dengan sekolah tempat saya belajar sewaktu di sekolah rendah. Bau air laut dan tiupan bayu begitu menggamit memori. Gemersik bunyi daun-daun kelapa bergesel bagai irama indah menjadi halwa telinga.

Cuma bezanya di sini, tiada kampung nelayan seperti Mengabang Telipot. Yang ada adalah deretan kedai-kedai makan sama ada segera atau tidak. Tidak kelihatan kapal-kapal nelayan berlabuh. Yang ada adalah kapal-kapal kargo nun jauh mahu singgah di Pelabuhan Keppel. Apabila melihat ke kiri dan kanan, barulah saya sedar betapa berbezanya dunia saya dahulu dengan dunia saya sekarang. Ibarat Pantai Mengabang Telipot dengan Pantai Hawaii!

Cabaran SUDOKU_Dinamik

Unsur Dinamik di dalam SUDOKU dapat dilihat apabila anda bebas meletakkan apa-apa nombor di dalam petak-petak kosong. Bagaimanapun, kebebasan itu bergantung kepada berapa banyak petak yang telah diisi dengan nombor-nombor tetap. Semakin banyak petak diisi semakin mudah bagi anda untuk untuk mengisi petak-petak kosong dengan nombor. Bagaimanapun, sebagai kesan sampingannya, kadar kebebasan untuk mengisi petak-petak kosong itu dengan nombor juga terbatas kerana terpaksa bergantung kepada nombor-nombor tetap yang ada.
Oleh yang demikian, di dalam sesuatu penulisan kreatif, salah satu tips bagi menjamin keDinamikan apa yang ingin anda tulis, sinopsis yang anda sediakan tidak perlu ditulis terlalu terperinci sehingga menyukarkan anda untuk mengembangkan cerita. Cukuplah sekadar sinopsis yang anda sediakan itu menjadi panduan bagi anda supaya cerita anda tidak terumbang-ambing yakni ada permulaan dan ada penamatnya yang berkesan.
Bagaimana cerita dan watak mahu dikembangkan, biarkan sahaja kreativiti anda menjalankan kerjanya.

Sunday, June 7, 2009

Khidmat Negara

Beberapa perkara besar telah berlaku di dalam hidup saya selama ini. Salah satunya adalah dipanggil untuk menjalani khidmat negara.
Sebagai warganegara Singapura, saya sepatutnya menyertai khidmat negara enam tahun yang lalu. Tetapi disebabkan saya menyambung pelajaran, panggilan itu ditangguhkan... Alhamdulillah, saya ada dua ijazah di dalam tangan. Sayangnya dua ijazah itu terpaksa menanti dua tahun lagi sebelum dapat dimanfaatkan sepenuhnya di dalam mencari kerjaya.
Seperti yang saya katakan tadi, khidmat negara adalah antara perkara besar di dalam hidup saya. Kerana khidmat negara saya terpaksa menangguhkan hajat untuk menyertai bidang guaman (Mungkin juga terpaksa membatalkan terus...hmmm). Kerana khidmat negara saya perlu pulang ke negara sendiri yang terlalu asing buat diri saya. Kerana khidmat negara juga saya terpaksa berpisah dengan orang-orang yang amat penting di dalam hidup saya...oh, syahdunya.
Namun, walau apapun perubahan besar yang saya lalui kerana khidmat negara, ada beberapa perkara yang tidak akan berubah. Salah satunya adalah keterujaan saya untuk terus menulis novel.
Entah kenapa, apabila berada di sini pelbagai idea tercetus di dalam benak saya. Projek Keraguan Munasabah, Sekuel Mencari Dewasa, Projek Arjuna Jiwa dan yang terbaru novel ala-ala Angels & Demons @ Da Vinci Code. Macam tidak boleh berhenti fikir. Harap-harap ada masa untuk menulis semuanya...

Susahnya menulis blog

Seribu satu alasan dicipta sebagai justifikasi 'kehilangan' saya di dalam blog ini. Apa jua alasan yang diberi, saya tidak menafikan bahawa semangat saya untuk menulis blog hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Hanya sekali-sekala sahaja muncul... Susahnya menulis blog.

Cabaran SUDOKU_Statik

Bertemu lagi di dalam tutorial penulisan kreatif. Setelah empat bulan meninggalkan blog, kini masanya untuk menyambung kembali perkara yang sudah terbiar agak lama.
Kali ini saya akan bercakap tentang unsur Statik di dalam penulisan. Di dalam permainan Sudoku, ada petak-petak yang diisi telah diisi dengan nombor-nombor tertentu. Nombor-nombor ini tidak boleh berubah dan diubah. Inilah yang dikatakan unsur Statik di dalam permainan Sudoku. Unsur yang tidak boleh diubah.
Di dalam penulisan, unsur ini perlu wujud untuk memastikan kekuatan jalan cerita sesebuah novel. Unsur ini tidak boleh berubah. Unsur ini ditentukan sendiri oleh penulis. Dengan kata lain, unsur Statik adalah Blueprint bagi sesebuah novel. Unsur ini biasanya dizahirkan di dalam bentuk Sinopsis.
Melalui Sinopsis inilah penulis menentukan unsur-unsur Statik di dalam penulisannya. Sebagai contoh, di dalam Sinopsis, penulis menetapkan bahawa watak utama adalah Khairil, seorang peguam muda. Khairil merupakan seorang yang bijak tetapi amat panas baran. Penulis boleh menetapkan watak ini sebagai unsur tetap di dalam novelnya. Dengan berbuat demikian, penulis tidak akan mudah 'hanyut' apabila mula menulis novel.
Kesimpulannya, unsur Statik adalah panduan di dalam menulis cerita. Harus diingat bahawa penulislah yang menentukan unsur ini.

Saturday, February 7, 2009

Cabaran SUDOKU_Syarat

Pada posting sebelum ini, saya telah menceritakan tentang sasaran SUDOKU dan kaitannya dengan penulisan. Kali ini, saya akan mengupas pula tentang S.Y.A.R.A.T... Syarat!

SYARAT 1: TIADA PENGULANGAN SECARA 'MENEGAK'


Saya rasa kalau pembaca tengok sahaja sub-topik ini sahaja sudah boleh mengagak apa yang mahu dikatakan. Mudah sahaja. Maksud menegak di sini adalah kronologi novel tersebut. Dari Prolog sehingga Epilog, plot-plot yang dipersembahkan mestilah berlainan. Jangan pada bab satu, kita tulis tentang kupu-kupu terbang, pada bab sepuluh kita tulis tentang kupu-kupu terbang juga. Tulisah tentang ikan berenang di dalam air pula.


Walau bagaimanapun, kalau mahu menulis tentang kupu-kupu terbang juga, tulislah begini; Pada bab pertama, tulis tentang kupu-kupu terbang pada waktu pagi. Bab sepuluh, tentang kupu-kupu terbang pada waktu petang.


INGAT, JANGAN TULIS PLOT YANG SAMA DI DALAM SATU NOVEL!

SYARAT 2: TIADA PENGULANGAN SECARA 'MELINTANG'


Kalau tadi kita menceritakan tentang plot cerita, kali ini kita kecilkan sedikit fokus kita kepada ayat, frasa, perkataan mahupun huruf di dalam sesuatu novel.


Perhatikan baris-baris ayat di dalam novel itu satu-persatu. Ada ayat yang berulang? Ada perkataan yang berulang? Ada frasa yang berulang? Saya berikan contoh pengulangan secara melintang di sini:-


Ayat berulang
Ahmad makan nasi. Nasi itu sedap. Ahmad makan nasi.
Frasa berulang
Ahmad makan nasi makan nasi.
Perkataan berulang
Ahmad makan nasi nasi.
Huruf berulang
Ahmad makkan nasi.


Kesalahan-kesalahan di atas biasanya berlaku akibat 'typo'. Ataupun kerap sangat 'cut & paste'. Anda bagaimanapun tidak perlu terlalu risau tentang pengulangan jenis ini apabila mula menulis novel. Apabila tiba masa untuk semakan, barulah perkara ini diambil perhatian. Kalau malas sangat, biarkan editor sahaja yang buat...haha...(Jangan marah K. Ikin, Mat Jan!)


SYARAT 3: TIADA PENGULANGAN SECARA PETAK KECIL 3x3


Sekiranya pembaca melakukan pengulangan jenis ini, anda berada di dalam masalah yang amat besar. Anda mungkin telah melakukan satu kesalahan jenayah dengan melanggar hakcipta penulis lain. Ya, maksudnya di sini ialah JANGAN MENCIPLAK KARYA ORANG LAIN!


Bagaimana kita boleh mengelak daripada menciplak karya orang lain? Mudah sahaja. 'Petak kecil 3x3' bermaksud genre yang bakal kita hasilkan. Jadi, kita boleh membuat sedikit kajian sama di dalam lingkungan tersebut sama ada karya yang ingin anda hasilkan sudah ada pasaran. Kalau belum ada, bagus. Kalau sudah ada, anda buatlah pindaan yang patut pada karya anda.


Walau bagaimanapun, mungkin kurang praktikal bagi kita untuk memeriksa setiap rak-rak buku, di setiap kedai sama ada karya yang kita hasilkan ini benar-benar asli. Lagipun, secara fitrahnya, adalah sukar untuk dua penulis yang berlainan mempunyai idea yang sebiji sama. Perkara itu adalah sesuatu yang hampir mustahil.


Lainlah, kalau anda memang sengaja menciplak karya orang lain!

Kesimpulannya....


Kesimpulan daripada apa yang diceritakan di sini, VARIASIKAN KARYA ANDA & 'BE ORIGINAL'!