Monday, June 6, 2011

Singapura Yang Tidak Kukenali: Ubah

Walaupun memegang taraf warganegara Singapura, tidak banyak yang boleh saya ceritakan tentang negara tersebut. Negara itu tidak lebih daripada Bedok Reservoir yang merupakan kejiranan di mana nyai tinggal ataupun taman permainan di Blok 9 Holland Avenue yang menjadi tempat saya bermain bersama-sama adik-adik dan juga sepupu saya setiap kali pulang ke negara ini. Singapura bagi saya tidak lebih daripada kunjungan hari raya ke rumah sanak-saudara ataupun menziarahi saudara terdekat yang meninggal dunia.


Jadi, apabila saya pulang ke Singapura, pasti ada sahaja perkara janggal yang akan saya temui. Negara ini cukup pantas berubah; orangnya, insfrastrukturnya, budayanya... Setiap kali saya pulang, ada sahaja bangunan baru yang naik. Kalau dahulu tidak ada Marina Bay Sands, sekarang tempat berkumpulnya tahi-tahi judi itu menjadi sebuah destinasi utama yang menjana ekonomi Singapura. Peluang-peluang pekerjaan terbuka luas dengan pembukaan tempat-tempat seperti itu. Ada yang menjadi penyambut tetamu, ada yang menjadi GRO, ada yang menjadi pembancuh arak, ada yang menjadi tukang cuci, ada yang menjadi pemandu, oh, pintu rezeki terbuka luas di sana. Berpusu-pusu gerombolan anak muda ke sana untuk mencari sesuap rezeki. Hasil yang diperolehi menjadi darah daging masing-masing. Darah daging anak-anak. Darah daging cucu-cucu. Cukup hasil itu untuk dirasai oleh 7 keturunan yang seterusnya. Hasil yang dijana daripada judi dan arak.


Bayangkan apa akan jadi Singapura di masa akan datang? Generasi-generasi yang darah dagingnya terpalit dengan hasil judi dan arak.


Perubahan-perubahan yang saya lihat itu sudah tidak menjadi satu kehairanan lagi. Saya tidak hairan lagi apabila masyarakat Singapura tidak lagi mempunyai tatasusila ketimuran. Saudara-saudara seagama saya juga tidak segan silu membuat maksiat malah ada pula yang mendabik dada membuka pekung masing-masing.


Tatkala saya meniti pinggiran Sungai Singapura, saya terpaku kepada tugu Stamford Raffles yang ada di situ. Masa depan beginikah yang dirancang oleh penjajah Inggeris ini? Masa depan yang dipenuhi dengan tahi-tahi judi, kaki botol, penzina dan anak-anak luar nikah? Nyata jika demikian, agenda penjajahan itu masih berjalan seperti yang dirancang.


Setiap kali menyeberangi tambak, saya akan menoleh ke pulau kerdil itu. Entah mengapa, setiap kali saya menoleh, pulau itu kelihatan semakin kerdil. Mungkin inilah perubahan yang paling jelas dapat lihat. Kekerdilan.

No comments: