Tarikh: 28 Jun 2008
Tempat: SRI Al-Amin, Bangi
Tempoh masa: 4 jam 30 minit (8.30 am-1pm)
Langkahku bermula! Terlebih dahulu aku kena mengucapkan terima kasih kepada kawan aku Ahmad Fadhli Faudzi yang menawarkan aku sebuah gerai yang berharga RM 5 untuk dibuka sempena program hari terbuka al-amin (Program mak bapak mengadap cikgu ambil buku rekod kemajuan anak-anak).
Tangan aku melekit dengan peluh aku sendiri semenjak mula sampai ke perkarangan sekolah. Jantung aku...jangan cakaplah...macam nak pecah!!
Gambar yang aku sertakan di sini menunjukkan gambar aku dan gerai aku. Gerai aku tu cuma sebuah meja belajar yang dialas dengan kain alas ihsan Fadhli Faudzi. Dengan ruang yang terhad tu, aku hiaslah sekadarnya.
Kalau dilihat pada gambar tu, aku ada pamerkan keratan akhbar tahun lepas pada kertas kadbod merah. Satu pasal temuramah aku dengan Berita Harian, satu lagi macam reviu novel pertama aku, Mencari Dewasa yang keluar dalam Utusan. Sayangnya, keratan akhbar tu tak berapa memainkan peranan sangat. Ada makcik yang tanya, "Siapa penulis novel ni?"
Masa tu aku rasa muka aku dah setebal Tembok China! Tapi, memandangkan cabaran ini bertujuan untuk membuang rasa malu tu, dengan selamba aku jawab, "Sayalah penulisnya!"
Terkebil-kebil mata makcik tu. Dia pandang keratan akhbar dan muka aku silih berganti beberapa kali. Kemudian, dia tergelak dan merembat sebiji novel terbaru aku, Arjuna Jiwa.
No comments:
Post a Comment