Friday, September 19, 2008

Cabaran Sudoku_Sasaran

Seperti yang dijanjikan, kali ini saya akan mengupas kaitan SUDOKU dan menulis novel satu persatu. Untuk kali ini, saya akan bercerita tentang S.A.S.A.R.A.N...SASARAN!
Di dalam SUDOKU, sasaran yang ditetapkan ialah untuk mengisi baki petak-petak kosong yang belum bernombor dengan nombor di antara 1-9. Syaratnya, nombor-nombor itu tidak boleh berulang sama ada secara menegak, melintang ataupun di dalam petak kecil 3x3.
Di dalam menulis sesebuah novel, sasaran utama bagi penulis adalah melengkapkan sebuah cerita (melengkapkan petak-petak kosong dengan nombor 1-9) mengikut syarat-syarat tertentu (nombor2 itu tidak boleh berulang sama ada secara menegak, melintang ataupun di dalam petak kecil 3 x 3). Saya akan bercerita tentang syarat-syarat penulisan berdasarkan permainan SUDOKU pada posting seterusnya.
IDEA KASAR
Secara umumya, seseorang penulis mempunyai idea kasar tentang apa yang ingin ditulis. Inilah yang dikatakan sebagai sebahagian nombor yang diisi di dalam petak-petak SUDOKU (Nombor tetap). Bagi memastikan idea itu lebih tersusun dan untuk memudahkan pengembangan idea dan cerita, idea itu hendaklah dilietakkan di dalam sebuah sinopsis. Contoh sinopsis boleh di didownload di 'DZAI Muat Turun' (Sinopsis Saatnya Untuk Menikah.doc).
MENGEMBANGKAN IDEA & PLOT
Setelah siap sinopsis itu, barulah dikembangkan idea-idea itu berdasarkan sinopsis yang telah dibuat. Tidak semestinya sesuatu idea itu harus dikembangkan mengikut kronologi. Tidak bermakna selepas idea no. 1 dikembangkan menjadi sebuah plot, idea no. 2 pula mesti dikembangkan. Sebagaimana permainan SUDOKU, kita boleh menyelesaikan idea yang terkemudian terlebih dahulu. Yang penting, selesaikan yang mana yang lebih mudah terlebih dahulu.
Kesimpulannya...
Ingat SASARAN...lengkapkan plot cerita.

Promosi: Keraguan Munasabah





Keraguan Munasabah. Novel yang paling memenatkan yang pernah aku hasilkan setakat ini. Kenapa? Sebab aku terpaksa berfikir bagaimana aku nak menterjemahkan pelbagai istilah undang-undang supaya boleh difahami oleh pembaca yang tiada latar belakang perundangan.

Secara ringkasnya, novel ini adalah berkenaan satu kes pembunuhan (Asal thriller sahaja mesti kena ada bunuh-bunuh, kenapa ya?) yang melibatkan satu konspirasi besar untuk mendapatkan sesuatu. Siapa yang dibunuh? Siapa yang membunuh? Siapa yang berkomplot? Apakah 'sesuatu' yang mahu dicapai itu? Semua itu cuba dijawab di dalam novel itu. Adakah tugas peguam bela di dalam kes ini semudah menimbulkan keraguan munasabah? Atau adakah pembaca akan terus dirundung ragu-ragu tatkala cuba mencari jawapan bagi soalan-soalan yang mula bermain-main di dalam kepala pembaca? Entahlah, aku pun sebenarnya masih ragu-ragu...Keraguan yang munasabah.

Maklumat lanjut novel ini, boleh layari www.pts.com.my

Tuesday, August 26, 2008

Sudokuuu

Cabaran SUDOKU_SUDOKU dan Menulis Novel





Sekarang kita beralih kepada permainan SUDOKU dan kaitannya dengan menulis novel. Apa kaitannya, ya? Macam mana permainan nombor boleh berkaitan dengan permainan perkataan?






Baiklah... setelah melalui empat permainan SUDOKU, aku mendapati beberapa pengajaran yang aku pecahkan kepada bahagian-bahagian berikut:-






1- Sasaran



2- Syarat



3- Statik



4- Dinamik



5- Kebarangkalian



6- Silap dan Pinda



7- Kesan Rantaian



8- Semakan






Mungkin ada yang boleh mengagak apa yang bakal aku ceritakan berdasarkan pecahan-pecahan di atas. Mungkin juga tidak. Jadi, untuk posting seterusnya, aku akan huraikan perkara-perkara di atas satu persatu. Tunggu...

Cabaran SUDOKU_Sejarah aku dan SUDOKU





Sebelum aku mencuba SUDOKU, aku menganggap ia merupakan satu permainan yang kompleks untuk golongan bercermin mata tebal yang anti-sosial. Entah bagaimana, pada suatu hari, aku mengenepikan tanggapan tersebut dan mencuba satu permainan SUDOKU yang diterbitkan di dalam akhbar Malay Mail.



Kali pertama bermain permainan ini, aku terpaksa merangkak-rangkak. Walalupun begitu, aku berjaya menyelesaikan permainan tersebut. Ternyata aku mendapat satu kepuasan yang amat sangat apabila berjaya. (Gambar di sebelah menunjukkan SUDOKU pertama yang berjaya aku selesaikan. Tahap'easy' je...)



Dan sehingga kini, setelah masuk minggu kedua, aku berjaya menyelesaikan 4 SUDOKU. Bukan satu pencapaian luar biasa, tetapi ianya memang membuatkan aku ketagih.

Friday, August 22, 2008

Cabaran SUDOKU

SUDOKU... cabaran terbaru aku ke atas diri aku. Apa kaitannya dengan menulis buku? Tunggu posting seterusnya...

Monday, June 30, 2008

CTP1


Analisa Cabaran Turun Padang 1


Objektif cabaran: Atasi rasa malu


Aku rasa aku dah berjaya mengatasi rasa malu tersebut. Sebabnya? Aku rasa nak buat lagi lepas ni. Lantaklah orang nak kata aku ni hidung tak mancung (memang pun), pipi tersorong-sorong... Kalau ada peluang (dan aku akan mencari peluang), aku akan turun padang lagi sebab pembaca memang nak berjumpa dengan penulis.


Kulit Buku dan Pembaca


Sepanjang pemerhatian aku di situ, aku dapati lelaki (tidak kira budak-budak atau orang dewasa, tapi kebanyakannya budak-budak) lebih berminat dengan kulit buku Arjuna Jiwa! Bila ada lelaki yang lalu, mata dia orang akan menjeling pada Arjuna Jiwa terlebih dahulu berbanding novel-novel aku yang lain.


Masalahnya, yang lelaki ni kebanyakannya belek-belek sahaja, belinya tidak... kenapa ya?


Jualan Buku


Di sebalik kesukaran untuk menarik minat lelaki-lelaki untuk membeli Arjuna Jiwa, novel itu masih menjadi yang terbanyak berjaya dijual pada hari tersebut. Berikut adalah jumlah jualan ketiga-tiga novel aku:-


1- Mencari Dewasa- 3

2-Cili Padi- 3

3- Arjuna Jiwa- 9


Hasil jualan vs kepuasan


Jawapannya...kepuasan! Mana tak puas? Dapat berinteraksi dengan pembaca dan sekaligus melewati penghadang besar bernama malu. Puas, puas... lagipun, aku dapat jual 15 buah novel aku sendiri! Sekarang barulah aku tahu bagaimana rasanya menjadi all-rounder seperti P. Ramlee dan Afdlin Shauki....


Cabaran Turun Padang 1



Tarikh: 28 Jun 2008


Tempat: SRI Al-Amin, Bangi


Tempoh masa: 4 jam 30 minit (8.30 am-1pm)





Langkahku bermula! Terlebih dahulu aku kena mengucapkan terima kasih kepada kawan aku Ahmad Fadhli Faudzi yang menawarkan aku sebuah gerai yang berharga RM 5 untuk dibuka sempena program hari terbuka al-amin (Program mak bapak mengadap cikgu ambil buku rekod kemajuan anak-anak).





Tangan aku melekit dengan peluh aku sendiri semenjak mula sampai ke perkarangan sekolah. Jantung aku...jangan cakaplah...macam nak pecah!!

Gambar yang aku sertakan di sini menunjukkan gambar aku dan gerai aku. Gerai aku tu cuma sebuah meja belajar yang dialas dengan kain alas ihsan Fadhli Faudzi. Dengan ruang yang terhad tu, aku hiaslah sekadarnya.

Kalau dilihat pada gambar tu, aku ada pamerkan keratan akhbar tahun lepas pada kertas kadbod merah. Satu pasal temuramah aku dengan Berita Harian, satu lagi macam reviu novel pertama aku, Mencari Dewasa yang keluar dalam Utusan. Sayangnya, keratan akhbar tu tak berapa memainkan peranan sangat. Ada makcik yang tanya, "Siapa penulis novel ni?"

Masa tu aku rasa muka aku dah setebal Tembok China! Tapi, memandangkan cabaran ini bertujuan untuk membuang rasa malu tu, dengan selamba aku jawab, "Sayalah penulisnya!"

Terkebil-kebil mata makcik tu. Dia pandang keratan akhbar dan muka aku silih berganti beberapa kali. Kemudian, dia tergelak dan merembat sebiji novel terbaru aku, Arjuna Jiwa.


Cabaran Turun Padang Bermula!

Turun padang merupakan cabaran yang aku letak pada diri aku untuk mencapai tahap populariti dan royalti yang diinginkan! Hahaha!

Sebenarnya bukan apa. Aku ni seorang yang pemalu. Betul! Tak tipu punya!

Aku masih ingat masa satu sesi autograf pada Pesta Buku Antarabangsa Tahun 2007. Aku boleh jadi pak pacak sahaja di gerai PTS menanti orang datang minta autograf aku. Perasan popular lah tu! Popular sangat! Adalah beberapa orang yang datang minta autograf. Itupun mungkin atas dasar simpati.

Kelakuan aku yang kaku itu telah ditempelak secara tidak langsung oleh Sifu di dalam blognya. Sifu tak adalah sebut nama aku, tapi perbandingan yang dia buat tu buat aku merasakan pipi aku ditampar beberapa kali.

Oleh yang demikian, setelah hampir setahun mengumpul kekuatan, aku memulakan cabaran Turun Padang untuk mengatasai rasa malu yang tak bertempat tu. Cabaran ini melibatkan aku sebagai all-rounder. Akulah penulis, akulah penjual buku dan aku jugalah promoter (Kes masuk bangkul angkat sendirilah ni).

Ke garisan... sedia...mula!

Iklan: Cerpen Raya/Puasa PTS One

Buat semua pembaca PTS One, pihak PTS One sedang mencari peminat yang sudi menulis cerpen bertema Hari Raya/Puasa. Masih ingat dengan buku remaja@ptsone yang diterbitkan pada hari raya tahun lepas? Buku seumpama itu akan diterbitkan lagi tahun ini tetapi bezanya kali ini, pihak PTS One berbesar hati untuk memuatkan 20 cerpen khas dari pembaca PTS One.
Tentu adik-adik mahu karya adik-adik turut dimuatkan bersama karya-karya penulis terkenal seperti Ain Maisarah, Farihah Iskandar dan ramai lagi (termasuk Z.A. Imad hehehe...)
Karya yang terpilih bukan sahaja akan diterbitkan malahan adik-adik akan menerima bayaran sebanyak RM50 sebagai duit raya dan senaskhah buku remaja@ptsone Bumper Raya 2008!
Spesifikasi cerpen
Tema: Hari Raya atau Puasa (watak remaja atau kanak-kanak)
Saiz: A4 (Times New Roman, Font 12, double spacing)
Hanya 6-8 halaman sahaja!
Hantarkan e-mel adik-adik kepada nurismaliza@pts.com.my selewat-lewatnya 2hb Julai 2008!
Sertakan sekali (diwajibkan)….
Nama penuh:
Nama Samaran/Manja:
Umur:
T. Lahir:
E-mel:
Blog/Friendster/My Space (jika ada):
No. tel: (akan dirahsiakan)
Alamat rumah dan poskod: (akan dirahsiakan)
Dua novel PTS One yang paling digemari:
Dua penulis PTS One yang paling digemari:
Hantarkan segera ya! Saya tunggu cerpen adik-adik semua! Nak baca hasil pembaca pula!

Tuesday, June 10, 2008

Tutorial: Mendapatkan Idea Terbaik

Idea, idea... di mana kau idea? Nak menulis blog ni pun kena ada idea, tapi nak cari di mana?


Untuk mendapatkan idea YANG TERBAIK, JANGAN CARI IDEA. Biarkan idea itu datang sendiri. Yang penting adalah cara menguruskan idea tersebut.

Cuba ingat balik, waktu bila otak kita akan ligat berfikir? Lepas solat? Lepas baca Quran? Sebelum tidur? Dan maaf kalau saya katakan, sewaktu sedang menunaikan hajat?

Tidak perlu saya utarakan teori-teori psikologi yang kompleks yang mempengaruhi pemikiran seseorang di sini. Perkara ini berlaku dalam kehidupan seharian, sama ada kita sedar atau tidak.

INGAT! JANGAN CARI IDEA...URUSKAN IDEA.

Thursday, June 5, 2008

Revolusi Media Islami 1







31 Mei 2008... Telah berlangsung satu bengkel yang insya-Allah bakal merevolusi media arus perdana.






Dengan penyertaan seramai 19 orang, bengkel yang dianjurkan merupakan titik tolak kepada sesuatu yang lebih besar. Revolusi Media Islami... Seram je bunyinya, kan?






Aku ada di situ untuk memastikan kelancaran program tu sahaja. Terima kasih kepada rakan-rakan yang lain iaitu Safwan (You're the man!), Salwa dan Nasruddin. Yup, cuma 4 tenaga penggerak sahaja, tetapi harus diingat walau ada 1000 orang pun, kalau Dia tak izinkan untuk bergerak, maka jadi tunggul kayulah semua jawabnya...









Promosi: Arjuna Jiwa


Berbanding dengan dua karya yang pertama, karya kali ini sedikit berbeza. Tiada lagi konsep jibunsyi tetapi masih mengaplikasi teknik surah Yusof.


Arjuna Jiwa dikategorikan sebagai cerita rakyat. Ia mengisahkan tentang Arjuna Jiwa yang sering dibuli rakan sewaktu kecil, tapi dia tak pernah kisah. Baik hati atau lurus bendul?


Kehidupannya di Desa Seri Telipot bakal berubah dengan kehadiran antagonis utama, Disfum Silbi. Rakan-rakannya dirampas, cintanya tak kesampaian, pengkhianatan demi pengkhianatan menimpa dirinya yang baik hati atau lurus bendul itu.


Dunia Arjuna Jiwa berpaksikan konflik yang ada di dalam jiwa manusia yang sebenar. Rasa tamak, gila kuasa, baik lawan jahat...pembaca perlu membaca dari mula sampai habis untuk menyelongkar rahsia di sebalik kisah ini.


Secara peribadi (dan penuh perasannya), aku rasa novel ni ada auranya yang tersendiri. Lebih kuat daripada aura Super Saiya Son Goku ataupun Chakura Musang Ekor Sembilan Naruto. Tak percaya? Tengok kulit buku dia...seram...


Walau apapun, apa yang aku kata di sini takkan bermakna kalau novel ni tak dibeli. Jadi dapatkanlah di pasaran dengan harga RM 25 sahaja.


Boleh dapat di kedai-kedai buku berhampiran atau beli secara online melalui http://www.pts.com.my/ atau hubungi sahaja aku melalui emel nariza_alanus@yahoo.com.sg.

Promosi: Cili Padi


Cili Padi adalah novel kedua aku. Merupakan prequel kepada Mencari Dewasa. Masih mengadaptasi konsep jibunysi dan aplikasi teknik surah Yusof. Cuma cerita ni berkisar tentang zaman kanak-kanak.




Cerita zaman kanak-kanak tak semestinya tak sesuai untuk yang sudah dewasa. Kita semua kan pernah jadi kanak-kanak? Takkan tak ingat kisah bergaduh dengan adik? Takkan tak ingat kisah dipukul ayah sebab sepahkan dapur? Takkan tak ingat kisah tidak dibenarkan masuk ke rumah sebab lambat balik gara-gara ralit main bola? Dah tak ingat lagi Aminah yang comel atau Ahmad yang kacak sewaktu mula-mula berjumpa di dalam kelas? (Aminah & Ahmad jgn marah ye? Contoh sahaja)




Cili Padi cuma nak mengajak pembaca mengimbau kenangan-kenangan tersebut. Harga di pasaran RM 14 sahaja. Boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran. Kalau tiada, boleh dapatkan di http://www.pts.com.my/. Kalau tiada juga, dapatkan sahaja terus dari saya melalui emel nariza_alanus@yahoo.com.sg.

Promosi: Mencari Dewasa




Mencari Dewasa... Novel pertama yang aku hasilkan. Kulit buku berwarna biru putih dengan dihias origami burung jenjang. Novel itu, bermula dari kulit depan hingga ke kulit belakang mempunyai signifikan yang tersendiri dalam hidup aku. Signifikannya akan aku ceritakan di dalam Mencari Dewasa... Di sebalik tabir.


Secara ringkasnya novel ni cerita pasal lelaki jatuh cinta dan putus cinta, kemudian jatuh cinta lagi dan putus cinta lagi. Aiseh, cinta lagi! Hmm, kalau aku kata ni kisah cinta lain dari yang lain, mesti bunyinya klise kan? Tapi, kalau aku kata kisah ni diambil dari kisah benar, macam mana? Nak baca? Kalau nak baca, kenalah beli!
Novel ni adalah adaptasi konsep Jibunsyi dan aplikasi teknik surah Yusof. Jibunsyi ni maksudnya fiksyen berdasarkan kisah benar. Kata Sifu aku, Jibunsyi ni asalnya dari perkataan Jepun.


Teori surah Yusof pula adalah satu kaedah penulisan mengikut laras bahasa yang terdapat di dalam surah Yusof. KEnapa surah Yusof? Apa tekniknya? Itu, aku akan cerita kemudian. Kalau tak sabar sangat, boleh terus mengadap sifu aku di http://www.universitipts.com/.


Apa-apa pun, sesiapa yang berminat nak dapatkan novel ni, boleh dapatkan di kedai dengan harga RM 21 sahaja. Kalau dah tiada, boleh beli secara online di http://www.pts.com.my/. Kalau malas juga, boleh beli terus sahaja dengan aku. Boleh pesan melalui emel nariza_alanus@yahoo.com.sg.

Monday, May 26, 2008

Selamat datang

Selamat datang ke Dunia Z.A. Imad,

Dunia ini akan mendedahkan anda tentang penulisan kreatif bersama-sama dengan saya yang baru dua tahun jagung di dalam arena penulisan. Di sini saya akan menceritakan tentang buku saya dan kisah di sebalik tabir buku-buku itu. Selain itu, dunia ini akan dilengkapi dengan tips-tips menulis, maklumat dan komen tentang buku, artikel, komik, apa-apa sahaja bahan bacaan yang telah saya baca...

Selamat meneroka!